Pemain Malaysia, Mohamad Faisal Abdul Halim (kiri) meraikan jaringan bersama rakan pasukan selepas berjaya membolosi pasukan Laos pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Walaupun Kim Pan Gon menyasar pemainnya menyumbat lebih banyak gol ketika menentang Laos pada malam tadi, namun lima gol sudah memadai untuk beliau gembira dengan prestasi mereka.

Pada aksi kedua Kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 itu, Ketua Jurulatih Harimau Malaya tersebut mendapati kubu lawan kebal pada separuh masa pertama dan hanya sekali sahaja dirobek menerusi jaringan Ezequiel Aguero pada minit ke-29.

Menurutnya, pertahanan Laos bermain dengan baik apabila menutup semua ruang dan peluang untuk Malaysia membuka jaringan walaupun menguasai permainan.

“Namun, pada separuh masa kedua mereka sedar apa yang perlu dilakukan untuk mencipta gol dan mereka bangkit.

“Saya perlu mengakui sebenarnya saya mensasarkan pasukan saya menjaringkan lebih daripada enam gol berdasarkan kelebihan yang dimiliki dan peluang yang dicipta mereka dalam aksi tadi namun tidak mengapa saya gembira dengan lima gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, Malaysia menundukan Laos 5-0.

Selain Aguero, Faisal Halim turut mencetak nama sebagai penjaring gol pada minit ke-65 dan 68, Mohamad Haqimi Azim Rosli (minit ke-77) dan Stuart Wilkin (minit ke-87).

Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon bercakap pada sidang media aksi perlawanan Kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia menentang Laos, turut sama pemain Malaysia, Brendan Gan (kanan) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 23 DISEMBER 2022.

Pan Gon berkata, kesemua pemain mempamerkan aksi terbaik dengan semangat juang tinggi yang sentiasa mencari peluang menjaringkan gol.

“Pamain telah membuktikan bahawa mereka adalah pemain berkualiti tinggi dan itulah ciri-ciri yang saya terapkan dalam diri mereka agar mereka meneroka kualiti dan kemahiran permainan dalam setiap perlawanan.

“Saya secara peribadi sangat bangga dengan kualiti permainan mereka serta lima gol yang dihasilkan dan sudah pasti ini adalah malam yang terbaik untuk kami,” ujarnya sambil menambah penyokong Harimau Malaya secara tidak langsung turut memberi kekuatan kepada pasukan bimbingannya dalam mengharungi perlawanan malam tadi.

Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan Go memberi tepukan kepada anak buahnya ketika aksi Malaysia menentang Laos pada perlawanan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 DISEMBER 2022.

Pan Gon menambah, pada perlawanan itu beliau perlu merehatkan beberapa pemain selain mempercepatkan pemulihan kecederaan yang dihadapi pemain bagi persediaan menghadapi Vietnam pada perlawanan seterusnya.

Katanya, skuadnya sudah sedia berdepan Vietnam yang membelasah Laos 6-0 dalam aksi pertamanya Rabu lalu walaupun ia bukannya tugas yang mudah. – MalaysiaGazette