Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas pihak-pihak yang melarang, sekali gus menyekat dan mengenakan tindakan terhadap pendakwah yang berlainan fahaman politik berceramah di masjid mahu pun dalam program di televisyen.

Pengerusi Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, pihak berwajib tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan mereka menimba ilmu di tempat perhimpunan.

Malah katanya, pengurusan masjid yang memilih Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid secara demokratik oleh ahli kariah juga tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

“Saya membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.

“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang dipilih oleh ahli kariah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pada PRU15 lalu, banyak pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal memberikan sokongan terbuka kepada PN.

Ujarnya, ada pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan itu adalah hak mereka membuat pilihan dalam sebuah negara demokrasi.

“Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

“Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” tambahnya. – MalaysiaGazette