PETALING JAYA – Ketiadaan dua tonggak utama pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee dan Muhammad Azam Azmi Murad tidak menjejaskan persiapan Harimau Malaya menjelang aksi genting menentang Singapura dalam saingan terakhir Kumpulan B, Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 3 Januari ini.

Pemain pertahanan tengah, Sharul Nazeem Zulpakar percaya pemain lain mampu menggalas tugas bagi menampung kelompongan yang ditinggalkan dua pemain tersebut pada aksi ‘Causeway Derby’ itu.

“Kita ada pengganti di situ (bahagian pertahanan) jurulatih Kim Pan Gon ada rancangan beliau. Saya rasa tidak akan tempang, semua pemain yang jurulatih panggil ada potensi dan bagus,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini hari ini.

Status kecederaan Ahmad Khuzaimi atau lebih dikenali Piee masih samar-samar selepas dilihat menggunakan tongkat selepas Malaysia menang tipis 1-0 ke atas Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon, pada 21 Disember.

Muhammad Azam pula dilayangkan kad merah apabila pengadil dari Jepun Ryuji Sato mendakwa pemain muda Terengganu FC itu melakukan kekasaran ke atas  Doan Van Hau di luar padang dalam aksi penuh kontroversi ketika Malaysia tumpas 0-3 kepada Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, Selasa lepas.

Dalam pada itu, Sharul Nazeem bertekad menjaga benteng pertahanan dengan sebaik mungkin daripada dibolosi pemain Singapura dan berwaspada dengan kelibat tonggak serangan lawan, Ilhan Fandi Ahmad.

“Ilhan memiliki saiz badan serta penyudah baik…mungkin jurulatih Kim tekankan kami untuk jaga beliau dengan serapatnya,” katanya.

Beliau pada masa sama juga berpendapat Malaysia wajib menang ke atas Singapura dalam usaha mendapatkan tiga mata penuh sekali gus layak ke separuh akhir.

Dalam pada itu, pemain tengah,  Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi berharap Malaysia dapat memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol menerusi ‘set piece’ ketika menentang Singapura nanti, memandangkan pasukan kebangsaan belum berbuat demikian dalam kejohanan itu setakat ini.

Muhammad Mukhairi juga memaklumkan rakan sepasukannya telah melupakan episod duka di Hanoi dan kini lebih fokus kepada usaha merebut slot ke peringkat separuh akhir.

Sementara itu, Pan Gon yang tidak menyertai sesi latihan hari ini difahamkan berada di Singapura bagi ‘mengintip’ pasukan jiran tersebut dalam perlawanan menentang Vietnam, di Stadium Jalan Besar. – Bernama