KUALA LUMPUR – Malik Streams Corporation Sdn Bhd yang merupakan pengedar rasmi filem terbaharu pelakon blokbuster India Selatan, Ajith Kumar bertajuk Thunivu tampil dengan promosi unik.
Ia juga kemungkinan melibatkan kos paling mahal dalam sejarah di negara ini.
Ini kerana Malik Streams yang diterajui oleh Datuk Abdul Malik Dasthigeer mahu promosi filem lakonan Ajith dibuat pada skala lebih besar apabila ia dilakukan menggunakan cahaya LED gergasi di Menara TS Law di sini bermula semalam.
“Kita sebenarnya sudah mula mempromosinya sejak beberapa bulan ini tapi pada saya itu tidak cukup. Kemahuan dan kehendak peminat Ajith khasnya mahu melihat hero mereka dalam keadaan luar biasa itu saya realisasikan dengan iklan gergasi LED menghiasi langit KL kali ini.
“Saya berharap promosi terbaharu ini akan membawa fenomena luar biasa bukan sahaja di negara ini sebaliknya seluruh dunia sebelum filem Thunivu lakonan Ajith bergegar di seluruh pawagam pada 12 Januari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Difahamkan promosi poster gergasi LED 360° di Menara TS Law itu bukan sahaja kali pertama dipaparkan dalam sejarah perfileman Kollywood di negara ini sebaliknya Malik Streams sendiri telah mencipta rekod dunia dengan promosi sedemikian.
Dalam pada itu, Persatuan Peminat Ajith Malaysia yang diterajui oleh Devandran Panersilbam berkata, pihaknya cukup teruja dan menghargai usaha dilakukan oleh Malik Streams dalam mempromosi filem Thunivu.
“Kita bekerjasama dengan Malik Streams dalam mempromosi Thunivu dalam segala aspek namun segala sokongan serta pemikiran kreatif Datuk Abdul Malik sememangnya mampu membawa fenomena yang membanggakan ketika tayangan kelak,” ujarnya.
Selain itu, poster-poster sudah mula memenuhi seluruh pawagam selain iklan LED di sekitar lokasi-lokasi utama di ibu negara.
Trailer filem Thunivu arahan pengarah terkenal India, H. Vinoth dan susunan muzik oleh Gibran itu diterbitkan oleh Boney Kaapor sudah mula ditayang sejak Sabtu lepas.
Sehingga ini mengikut laman rasmi ZEE Studios, sebanyak lebih 36 juta menontonnya seluruh dunia. – MalaysiaGazette