Muhammad Safawi Rasid

KUALA LUMPUR – Kejayaan lepas tidak memberi jaminan laluan mudah kepada pasukan negara menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Kapten pasukan negara Muhammad Safawi Rasid berpandangan kejayaan mara ke final selepas menyingkirkan Thailand pada edisi 2018 dapat memberi kelebihan kepada Malaysia apabila berdepan cabaran skuad Gajah Perang itu pada saingan kali ini.

Namun, pemain sayap berusia 25 tahun itu percaya setiap individu dalam pasukan akan menjalankan tugas masing-masing dengan baik untuk memastikan skuad Harimau Malaya melangkah ke pentas final.

“Pada 2018 kita menang pun sebab mereka (Thailand) terlepas sempurnakan penalti, jadi saya dan rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan akan terus kuat pada separuh akhir kali ini.

“Bagi saya perlawanan menentang Thailand saya percaya dengan rakan sepasukan dan jurulatih yang ada taktikal, jadi kita akan ikut perancangan dan beri segalanya untuk layak ke final,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebagai rekod, Malaysia mengatasi Thailand dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas seri tanpa jaringan di Bukit Jalil dan 2-2 di Bangkok pada pertembungan separuh akhir edisi 2018, namun pasukan negara tewas kepada Vietnam di pentas final.

Malaysia kemudian meraih dua kemenangan lagi ke atas Thailand masing-masing 2-1 dan 1-0 pada perlawanan kumpulan saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Thailand berjaya mengikat Malaysia 1-1, namun tewas 3-5 menerusi penentuan penalti pada saingan Piala Raja Thailand September tahun lepas.

Menjelang pertembungan Sabtu ini, Malaysia masih segar dengan kejayaan Causeway Derby selepas menewaskan Singapura 4-1 sekali gus mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B di belakang Vietnam yang akan membuat perhitungan berdepan Indonesia pada satu lagi separuh akhir.

Selepas perlawanan di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon akan berlepas ke Bangkok bagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, Selasa depan. – BERNAMA