Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil sedikit masa untuk berjumpa dengan penyokongnya ketika hadir ke mahkamah pada prosiding kes rayuan akhir berkaitan sabitan dan hukuman penjara penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 OGOS 2022.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah memohon untuk memasukkan Queen’s Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw untuk mewakili dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd tahun lalu.

Najib yang juga mantan Presiden UMNO mahu melantik Peguam Diraja kerana Peguam Diraja mempunyai pengalaman dan kepakaran untuk membantu beliau dalam isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes SRC  di Mahkamah Persekutuan.

Tetapi, permohonan Najib telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dengan alasan peguam itu tidak dapat menunjukkan bahawa kelayakan dan pengalamannya tidak dimiliki oleh mana-mana peguam di negara ini bagi tujuan berkenaan.

Selepas permohonan itu ditolak, Najib telah melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, permohonan pasukan peguam baru untuk memohon lebih masa telah ditolak.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang menjadi peguam utama dalam rayuan akhir kes SRC berkata, mereka memerlukan masa untuk meneliti kes berkenaan.

Tetapi mengapa mahkamah tidak mempertimbangkan permohonan pasukan peguam itu sedangkan kes SRC dianggap satu kes rumit oleh bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas sendiri?

Selepas Pakatan Harapan (PH) diberikan mandat pada Mei 2018 dan Tommy dilantik sebagai peguam negara, beberapa ahli politik dan lain-lain individu dihadapkan dengan pertuduhan rasuah.

Baru-baru ini, Tommy mengatakan pada awal perbicaraan kes itu, pihaknya bertindak untuk  melantik Datuk V. Sithambaram untuk mengetuai pasukan pendakwa atas alasan kes yang mereka hadapi agak susah dan sulit.

Pejabat Peguam Negara mempunyai beribu peguam tetapi tidak digunakan sebaliknya mereka melantik peguam swasta.

Alasannya, kes itu rumit kerana banyak dokumen yang perlu dikaji dan transaksi-transaksi dokumen yang ada di sekeliling kes itu juga perlu diteliti.

Sedangkan pihak jabatan peguam negara melantik peguam swasta untuk pendakwaan, kenapa Najib tidak dibenarkan untuk melantik peguam baharu?

Ketika kes di Mahkamah Persekutuan, pembelaan Najib cuba meyakinkan mahkamah tentang kerumitan dalam kes berkenaan tetapi langsung tidak ‘dilayan’.

Untuk makluman, sepanjang kes SRC yang bermula pada 2018,  Najib tidak pernah menukar peguam untuk kesnya dan beliau hanya menukar peguamnya pada peringkat Mahkamah Persekutuan kerana kes itu berada di peringkat akhir.

Sebelum ini juga, seorang pengamal undang-undang, Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir pernah mendedahkan tindakan menukar peguam pada saat akhir bukanlah perkara yang luar biasa sebaliknya sering dilakukan oleh banyak pihak.

Kata beliau, setiap orang berhak untuk menerokai pilihan yang ada demi mencari keadilan untuk diri sendiri.

Adakah perbicaraan kes SRC Najib berlaku secara adil?

Tetapi persoalan tetap timbul terutamanya dalam kalangan penyokong dan rakyat sendiri, mengapakah mahkamah terburu-buru dalam kes SRC?

Adakah benar dakwaan segelintir pihak mahu Najib masuk penjara cepat? Kenapa Najib tidak diberi masa secukupnya untuk membuktikan pembelaan sedangkan ia melibatkan masa depan beliau?

Najib kerap kali menyatakan beliau berharap mahkamah merupakan platform terbaik untuk membersihkan namanya tetapi beliau tetap gagal kerana tidak diberikan peluang sedemikian.

Pada 19, 20 dan 26 Januari ini, Mahkamah Persekutuan akan mendengar semakan kes penyelewengan dana SRC yang telah dipohon oleh Najib yang ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang sejak Ogos tahun lalu.

Pada 23 Ogos lalu, panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara terhadap penyandang kerusi Parlimen Pekan itu.

Najib memohon menyemak keputusan panel itu yang menolak permohonan pembelaan untuk memasukkan bukti baharu berkaitan hakim bicara, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan membatalkan perbicaraan kes itu.

Najib turut memohon menyemak keputusan mahkamah yang menolak permohonan untuk menggugurkan Ketua Hakim Negara daripada mendengar rayuan akhir tersebut.

Beliau turut memohon agar pendengaran rayuan akhir itu didengar semula di hadapan panel hakim yang lain yang dianggotai tidak kurang daripada tujuh orang hakim atau yang difikirkan sesuai. – MalaysiaGazette