Badrul Hisham Shaharin
Badrulhisham Shaharin atau dikenali sebagai ‘Chegubard’.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa agar tidak ada muslihat tertentu dalam kes penahanan seorang Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan atas dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 sebelum ini.

Menurut Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, kerajaan diharap tidak boleh membuat tindakan terpilih.

Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak tuntas dan berani dalam usaha untuk menyelesaikan kes ini secara terbuka, katanya.

“(Kita berharap) siapa bersalah, didakwa. Kes yang berada di mahkamah perlu diselesaikan bukan cakap mahmakah terbuka tapi lepas itu tiba-tiba pendakwa raya tarik balik kes.

“Ini adalah usaha mengalih isu demi isu dengan menggunakan medan kerajaan untuk berkempen menyalahkan parti itu, parti ini dalam keadaan cuba mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan Kerajaan Perpaduan menyelesaikan masalah kos sara hidup, ekonomi malah mereka juga berkecamuk berperang sama sendiri seperti kemelut politik berlaku di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika ada kesalahan dalam kes penahanan ahli Bersatu itu maka kerajaan perlu melakukan pendakwaan.

Namun siasatan itu diharap tidak bertujuan mengalihkan isu seperti mana usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipercayai sedang ‘membebaskan’ kluster mahkamah.

Dalam pada itu, Che’gubard yakin partinya tidak akan melindungi dan berkompromi jika terdapat sebarang bentuk salah guna kuasa penyelewengan yang berlaku.

“Sekali pun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalah, saya merasakan bahawa kita bersedia untuk siasatan secara terbuka dilakukan dan jika ada kesalahan, lakukan pendakwaan, kita tidak ada masalah,” katanya lagi.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa agar SPRM perlu melakukan siasatan secara menyeluruh berhubung kes membabitkan penahanan seorang ketua bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan.

Ini berlaku selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 42 tahun berhubung dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.

SPRM, pada Jumaat lalu menahan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta kerana didakwa menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi antara 2020 dan 2022. – MalaysiaGazette