SUBANG – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan meneruskan perancangannya untuk memperoleh 18 buah Pesawat Tempur Ringan (Light Combat Aircraft) yang masih tertangguh lagi.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, secara dasarnya perolehan kesemua pesawat LCA berkenaan telahpun diluluskan oleh Kabinet kerajaan terdahulu sebelum ini.
“Kita hendak Jemaah Menteri dan Kabinet baharu ini dapat mengabsahkan apa yang diluluskan (18 pesawat tempur ringan) oleh kabinet terdahulu (LCA).
“Perolehan Light Combat Aircraft masih kekal 18 unit dan kalau boleh secepat mungkin tapi ia perlu melalui proses-proses tertentu,” kata Mohamad Hassan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.
Kehadiran Ahli Parlimen Rembau itu disambut oleh Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Asghar Khan Goriman Khan dan diberikan taklimat mengenai fungsi dan pengoperasian tentera udara dalam menjaga keselamatan ruang udara negara.
Turut hadir sama lawatan kerja berkenaan adalah Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Seri Muez Abd Aziz.
Dalam perkembangan sama, Mohamad menambah, pihaknya akan melihat keutamaan dan cadangan untuk menambah aset Angkatan Tentera Malaysia yang memerlukan jumlah peruntukan kewangan yang amat besar.
“Kita hendak melengkapkan apa yang sepatutnya kita ada dan apa yang perlu dinaiktarafkan (pesawat dalam perkhidmatan),” tegas beliau lagi.
Mengulas tentang kesiapsagaan penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23), Mohamad menjelaskan, Mohamad berkata, enam negara telah diundang untuk terlibat dalam pertunjukkan statik dan udara.
Katanya, setakat ini dua negara telahpun mengesahkan komitmen penglibatan mereka dalam pertunjukkan udara tersebut.
“Setakat ini, 80 peratus pempamer telahpun mengesahkan kepada kami tentang penyertaan merekadalam LIMA’23.
“LIMA’23 ini merupakan satu pertunjukkan udara dan maritim yang terbesar maka kita perlu meneruskan serta menjayakannya kerana kali terakhir ia diadakan pada 2019.
” Pameran berprestij itu sangat penting kerana memberikan ruang dan peluang untuk MINDEF dan ATM melihat aset-aset pertahanan dari luar negara, selain bertemu dengan pihak diplomasi strategi pertahanan,” jelas Mohamad.
Pameran LIMA’23 dijadualkan berlangsung bermula 23 Mei hingga 27 Mei 2023 di Pulau Langkawi yang akan disertai lebih 600 syarikat pempamer daripada industri pertahanan tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, pameran berkenaan juga dijangkakan menarik kehadiran lebih 50,000 delegasi dari dalam dan luar negara.-MalaysiaGazette