Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Ramesh Rao di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam semalam.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri, Ramesh Rao yang meninggal dunia awal hari ini.

Ahmad Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga berkata, pemergian pegawai khasnya itu satu kehilangan kerana pegawainya itu telah berkhidmat dengan baik.

“Dengan perasaan sedih dan dukacita, saya dan seluruh warga pejabat TPM dan KKDW menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ramesh Rao Krishna Naidu yang meninggal dunia pada awal pagi ini.

“Semoga ahli keluarga, kenalan dan rakan taulan mendiang tetap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan kehilangan insan yang mereka sayangi.

“Saya amat menghargai khidmat bakti dan jasa mendiang kepada masyarakat dan negara sebelum dan semasa beliau berkhidmat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Ramesh Rao meninggal dunia pagi tadi.

Difahamkan, mendiang yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia (PMSP) meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ramesh dikenali kerana aktif memperjuangkan kebajikan masyarakat di negara ini terutamanya kaum India.

Sebelum menyertai Barisan Nasional (BN), beliau pernah bergiat dalam politik bersama DAP.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sempat berkongsi saat terakhir bersama mendiang Ramesh semasa berada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur malam semalam.

“Semalam saya sempat bersama Ramesh Rao semasa menyantuni peniaga food truck di WTC. Pemergian yang mengejutkan. Semoga keluarga beliau akan tabah menghadapi kehilangan insan tersayang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ramesh Rao meninggal dunia