Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin bercakap kepada media selepas memfailkan perceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Puteri Sarah berasa lega dan lapang selepas memfailkan tuntutan perceraian terhadap suaminya, Mohd Syamsul Yusof.

Katanya, dia telah menunaikan tanggungjawab yang baik sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua orang cahaya matanya.

Malah, beliau mengucapkan syukur kerana tarikh sebutan semula kes yang ditetapkan 7 Mac ini oleh Mahkamah Syariah Kuala Lumpur cukup signifikan kerana pada keesokannya jatuh tarikh ulang tahun perkahwinannya.

”Macam kebetulan mahkamah bagi tarikh itu. Syukur alhamdulillah cukup sembilan tahun Sarah jadi isteri kepada Mohd Syamsul dan nampaknya apa orang kata tak ada rezeki dah.

“Sarah nak tekankan kat sini, yang orang kata Sarah ini anti poligami, seorang isteri yang derhaka minta cerai apa semua…actually, poligami itu indah kalau seorang suami itu berlaku adil…tapi disebabkan Sarah ditipu dan tak minta izin, tak bincang dulu, jadi Sarah rasa inilah jalan terbaik untuk Sarah,” katanya yang ditemui di Mahkamah Syariah di sini hari ini bagi memfailkan perceraian.

Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin yang mesra disapa dengan panggilan Sarah itu hadir dengan ditemani oleh dua adiknya.

Sepanjang sidang media itu, dia kelihatan tenang.

Puteri Sarah yang berpakaian serba hitam berkata, sebagai seorang isteri, dia sudah menunaikan tanggungjawab dengan baik.

Malah, katanya, tindakan yang dibuat pada hari ini selepas berbincang dengan keluarga.

“Sarah sudah bertahan dan Sarah sudah bertemu dengan ustaz. Sarah rasa this is the best for me (ini yang terbaik untuk diri saya),” ujarnya.

Dalam pada itu, Puteri Sarah yang juga pelakon filem, Lu Pikirlah Sendiri de Movie turut memberitahu, dia mahu mencari ketenangan jiwa dan mahu melupakan segala kemelut yang dilalui dengan melakukan umrah pada 26 Januari ini.

Katanya, dia sangat berharap agar ibadah yang dilakukan nanti akan memberi kelapangan hati sekali gus memudahkan segala urusan yang dibuat.

“Bila kita solat Isthikarah dan bila nak buat sesuatu Allah nak permudahkan, Allah beri rasa tenang hati ….inilah petunjuk (umrah) yang Allah beri pada Sarah..Insya Allah,” tambahnya. – MalaysiaGazette