Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo bercakap kepada media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan EXCO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Exco Belia dan Sukan Negeri lebih kerap selepas ini sekurang-kurangnya dua kali setahun.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, kali terakhir mesyuarat Belia dan Sukan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri sejak 2018.

“Ini adalah kali pertama mesyuarat ini diadakan sejak kali terakhir pada 2018 apabila dipengerusikan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

“Sudah lama kita tiada mesyuarat ini bersama Exco Kerajaan Negeri.

“Jadi di peringkat KBS, kita sasarkan mesyuarat ini sekurang-kurangnya dua kali setahun,” katanya pada sidang media di lobi Menara KBS hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Ahli dan kesemua 13 exco belia dan sukan negeri kecuali dari Selangor.

Antaranya Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Mesyuarat Penyelarasan Exco Belia dan Sukan Negeri yang dipengerusikan Hannah itu untuk merangka dan menyelaras kerjasama di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan belia dan sukan secara holistik.

Dalam pada itu, Hannah juga berkata, selain mesyuarat Penyelarasan Exco Belia dan Sukan Negeri, KBS mempunyai banyak Jawatankuasa Bersama Exco Negeri.

“Kita juga ada majlis sukan yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat itu bagi membolehkan KBS mengenal pasti dan membincangkan isu-isu semasa belia dan sukan di peringkat akar umbi.

“Ia perlu memperakukan cadangan tindakan dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan belia dan sukan. Kita nak koordinasi dan kita nak penyelarasan berlaku,” jelasnya.

Katanya lagi, selain perjumpaan kerap dan saluran komunikasi yang wujud ini merupakan satu manifestasi identiti dan hala tuju Kerajaan Persekutuan Perpaduan.

“Ia jelas mahukan penglibatan kerajaan negeri bagi membangunkan masa depan Malaysia. Portfolio kita (belia dan sukan) adalah portfolio yang tak boleh dipolitikkan.

“Ini kerana ia masa depan Malaysia dan nama baik Malaysia. Kita akan mengadakan lebih banyak libat urus seperti ini bersama semua kerajaan negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Menteri Belia dan Sukan adalah satu pembaziran. Negara lain ada ke kementerian ni.? Sukan mereka lebih maju lagi.

Comments are closed.