KUALA LUMPUR – Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan kerajaan memperkenalkan bayaran khas sambutan perayaan sebulan gaji kepada setiap pekerja semasa perayaan besar yang disambut di negara ini.

Presidennya, J. Solomon berkata, sudah tiba masanya untuk majikan mempertimbangkan keperluan yang boleh diagihkan kepada setiap pekerja semasa perayaan besar.

SPCAAM mencadangkan imbuhan ini dibayar semasa Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Deepavali dan Krismas setiap tahun.

Kata beliau, sejak kebelakangan ini kerajaan dengan pelbagai pihak telah membincangkan kesan kenaikan kos sara hidup dan ketidakselarasan gaji pekerja di Malaysia.

“Malah keadaan bertambah buruk dengan wabak Covid 19 yang melanda Malaysia dan seluruh dunia tiga tahun lalu yang turut telah menjejaskan pendapatan bersih yang dibawa pulang.

“Walaupun begitu, usaha untuk meminimumkan beban kewangan pekerja terutamanya bagi mereka dari B40 dan M40 masih belum dapat diselesaikan sehingga kini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Solomon yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) berkata, memandangkan portfilio khas yang menyelia “kos sara hidup” di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, para pekerja berharap agar satu usaha holistik diambil oleh Kabinet.

Sehubungan itu, katanya, SPCAAM berpandangan beberapa pendekatan perlu diambil oleh kerajaan dan majikan untuk membantu para pekerja diberikan elaun kos sara hidup yang munasabah bagi menangani kenaikan kos secara drastik.

“Salah satu cara yang dimaksudkan adalah dengan mengagihkan bayaran khas sambutan perayaan sebulan gaji kepada setiap pekerja semasa perayaan besar yang disambut di Malaysia,” katanya.

SPCAAM yakin langkah ini akan membantu mengurangkan kesan kewangan yang terpaksa dihadapi oleh pekerja setiap kali perayaan.

Solomon menambah, walaupun terdapat beberapa majikan dan juga kerajaan yang membuat bayaran peruntukan khas sekali setahun, sesetengah majikan lain memperuntukkan pinjaman atau pendahuluan yang perlu dibayar secara ansuran namun ia tidak menyelesaikan masalah.

SPCAAM menyeru kerajaan melaksanakannya dengan memperkenalkan undang-undang khusus berkaitan pembayaran khas perayaan kepada pekerja dan perlu dipatuhi oleh majikan.

“Dengan segera, kerajaan boleh menguatkuasakan perkara ini di semua GOC dan GLC mereka,” kata beliau.

Jelas beliau, SPCAAM yakin pelaksanaan kemudahan itu tidak akan menjejaskan kos operasi majikan, sebaliknya dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan syarikat. – MalaysiaGazette