Penerima Anugerah Ikon Usahawan MAIWP, Robiatul Adawiah Ibrahim bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – “Saya hanya mengikut apa yang guru saya ajar iaitu kembangkan perniagaan di platform dalam talian dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara.”

Itu rahsia kejayaan dikongsikan oleh pengasas Durian Crepe Robi, Rabiatul Adawiah Ibrahim, 36, apabila syarikatnya kini mampu meraih jualan mencecah jutaan ringgit.

Beliau yang  merupakan bekas pelajar Institut Kemahiran Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, selain mendengar kata guru,  keberkatan duit asnaf yang diterimanya turut merupakan faktor kejayaan.

“Saya hampir mengalir air mata apabila terkenangkan zaman susah saya sebagai penerima asnaf di mana ketika itu ibu saya bekerja sebagai guru KAFA manakala ayah pemandu teksi.

“Dahulunya juga saya merupakan seorang guru tadika dan hanya bergaji RM900 sebulan sebelum mengambil inisiatif untuk menjual durian crepe dari rumah.

“Bukan mudah untuk berjaya tetapi dengan keberkatan duit asnaf dan mengikuti apa kata guru membuatkan saya untuk bangkit dan menjadi titik permulaan supaya dapat mencapai hasil yang luar biasa seperti hari ini,” katanya kepada media pada Karnival MAIWP di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan anugerah Ikon Usahawan MAIWP 2023 kepada Robiatul Adawiyah Ibrahim sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd NaÕim Mokhtar (kanan) pada Majlis Pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JANUARI 2023.

Terdahulu, beliau menerima anugerah Ikon Usahawan MAIWP yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Rabiatul Adawiah memperoleh sijil penghargaan, plak serta cek cura berjumlah RM3, 000.

Jelas Rabiatul Adawiah, anugerah yang diterimanya adalah sangat besar dan bermakna lebih-lebih lagi dikurniakan oleh Agong dan sangat berbangga menjadi salah seorang pelajar MAIWP.

Beliau ingin melebarkan lagi sayap perniagaannya dengan memasang impian untuk membuka kilang supaya boleh menyumbang kepada MAIWP dan menjadi pembayar zakat terbanyak suatu hari nanti.

“Setakat ini, saya memiliki ejen seramai 900 orang seluruh Malaysia dan produk saya turut berjaya melepasi pasaran luar iaitu  di Brunei dan Singapura,” jelasnya. – MalaysiaGazette