Tan Sri Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – Cabaran besar yang dihadapi UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti adalah menerangkan kepada rakyat isu pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin parti.

Ia bertujuan ‘membersihkan’ parti dan bukan atas sebab tiada sistem demokrasi, kata veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang memecat bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin serta menggantung keahlian beberapa pemimpin selama enam tahun termasuk Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mohd Yussof berkata, ia susulan persepsi rata-rata masyarakat khususnya anak muda menganggap UMNO adalah parti yang tidak mengamalkan sistem demokrasi susulan tindakan yang dibuat.

“Saya percaya tindakan Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mahu bersihkan UMNO adalah keputusan yang telah dipertimbangkan sehalus-halusnya namun ia tetap mengundang kesan pada PRN nanti.

“Kebimbangan saya sebagai veteran adalah reaksi pengundi-pengundi muda yang kini berpendapat tiada demokrasi dalam UMNO dan ia menjadi satu cabaran buat parti untuk menjelaskannya menjelang PRN.

“Pemecatan Khairy Jamaluddin dan penggantungan Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya sudah antara memberi kesan kerana mereka mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan anak muda,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ketika diminta mengulas adakah tindakan mengkritik presiden tidak dibenarkan dalam UMNO, Mohd Yussof berkata, perkara itu berlaku sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lagi.

“Bukan itu sahaja, perkara sama berlaku pada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila seseorang pemimpin itu keluar sudah semestinya ada impak buat parti tambahan pula mereka yang mempunyai pengaruh kuat,” ujarnya.

Namun yang penting kini, katanya, tindakan parti untuk mengembalikan perjuangan serta keyakinan ahli masih ada serta rakyat bahawa tindakan mereka terhadap pemimpin itu adalah disebabkan faktor kepentingan parti bukan isu lain.

“Jadi saya nak tekankan di sini, UMNO perlu bersedia untuk hadapi serta bersihkan tomahan daripada pihak pembangkang berhubung isu ini agar anak muda kembali menyokong mereka pada PRN nanti,” kata Mohd Yussof. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. mungkin ini untok menjadi sebab umno akan berkubur tak lama lagi . ph tak boleh beri kerusi banyak kepada umno walau pun dia murid anwar . kalau prn nanti umno tak dapat kerusi itu lah tandanya lubang kubur sudah terbuka . kalau ros batalkan umno lagi cantik .

Comments are closed.