Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (kanan) berbual bersama pelancong luar semasa Tinjauan Pelaksanaan 'Task Force' Mengatasi Kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 01 FEBUARI 2023.

SEPANG – Pembukaan pejabat pengeluar pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bermula sejak 19 Januari mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sejak pejabat itu dilancarkan pada pertengahan bulan lalu, sebanyak 1,033 pasport telah dikeluarkan.

“Saya baca di media sosial, pelanggan kami yang berurusan di pejabat pasport KLIA amat gembira kerana mereka memperoleh pasport dalam tempoh kurang sejam.

“Sebelum Covid-19, keadaannya memang sebegini.

“Mereka yang nak memperbaharui pasport, mereka boleh selesaikan urusan mereka kurang sejam.

“Selepas Covid-19, oleh kerana pertambahan tiga kali ganda, masa yang lebih panjang diperlukan,” katanya pada sidang media di KLIA, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau melakukan tinjauan tahap kesesakan di kaunter Imigresen di Balai Ketibaan Pelawat Asing KLIA.

Pada 19 Januari lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuka Pejabat Pengeluar Pasport KLIA di lot tempat letak kereta berjangka panjang di lapangan terbang tersebut.

Pejabat baharu yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu merupakan satu inisiatif inovatif JIM bagi memenuhi ekspektasi rakyat.

Katanya, kelebihan pejabat pasport itu adalah berada dekat dengan pintu masuk dan keluar KLIA sekaligus menunjukkan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam meningkatkan komitmen dan sistem penyampaiannya kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast