SEPANG – Seramai 30 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditugaskan dalam Pasukan Tindak Balas Pantas (QRT) bagi menangani kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2, di sini, bermula hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua 30 pegawai JIM itu ditugaskan di 26 kaunter di Balai Ketibaan Luar Negara, KLIA pada waktu puncak, bermula jam 2 petang hingga 8 malam.
“Hari ini Imigresen telah menubuhkan satu pasukan yang dikenali sebagai QRT dan bagi KLIA ini, seramai 30 pegawai yang terlibat dalam pasukan ini.
“Mereka ini adalah pegawai-pegawai yang bertugas di Bahagian Penguatkuasa dan pegawai yang membuat tugas-tugas am di pejabat Imigresen KLIA.
“Mereka ini telah diberikan latihan yang secukupnya dan ID untuk membolehkan akses kepada sistem.
“Pada hari ini seramai 12 pegawai daripada QRT telah bertugas dan mereka dapat memenuhi kaunter-kaunter yang kosong,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di kaunter Imigresen KLIA, di sini, hari ini.
Pada 30 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta JIM menambah jumlah pegawai Imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.
Dalam pada itu, seramai 40 pegawai akan ditempatkan kaunter Imigresen di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bermula 6 Februari ini.
“Seramai 40 orang pegawai dari sektor operasi, sedang diberikan latihan tentang prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong warga asing,” katanya.
Tambahnya, kesesakan di KLIA semasa waktu puncak berpunca daripada beberapa faktor termasuk pemeriksaan ketat pelawat asing dari negara berisiko tinggi.
“Kesesakan juga berpunca daripada ketibaan penerbangan setiap lima hingga 10 minit atau jumlah ketibaan antara 26 dan 27 penerbangan untuk tempoh empat jam pada waktu puncak.
“Ini juga disumbangkan daripada kaunter yang tidak beroperasi secara optimum,” katanya.
Jelasnya, seramai 780 pengembara warga asing dapat diberi pelepasan dalam tempoh satu jam berbanding 495 orang dalam masa 47 minit tanpa sokongan QRT.
“Ini bermakna seramai 13 orang dalam tempoh satu minit,” katanya. – MalaysiaGazette