LONDON – Keuntungan syarikat minyak BP melonjak lebih dua kali ganda pada tahun lalu kepada AS$27.7 bilion berbanding AS$12.8 bilion tahun sebelumnya.

Lonjakan itu dipacu oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Firma tenaga lain juga telah menyaksikan kenaikan yang sama, dengan Shell melaporkan rekod pendapatan hampir AS$40 bilion minggu lepas.

Keuntungan itu telah menyebabkan gesaan agar firma tenaga membayar lebih cukai ketika banyak isi rumah bergelut dengan kenaikan bil.

Peneraju BP, Bernard Looney berkata, syarikat Britain itu “membantu menyediakan tenaga yang diperlukan dunia” dan melabur kepada tenaga hijau.

Harga bahan api mula meningkat berikutan berakhirnya sekatan Covid-19 tetapi melonjak secara mendadak pada Mac tahun lalu selepas Rusia menyerang Ukraine, mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan global.

Harga minyak mentah Brent mencecah hampir AS$128 setong, tetapi sejak itu jatuh semula kepada kira-kira AS$80.

Harga gas juga meningkat tetapi telah turun dari paras tertingginya.

Lonjakan harga itu telah membawa keuntungan tinggi untuk syarikat tenaga, tetapi juga mendorong peningkatan dalam bil isi rumah dan perniagaan.

BP berkata, perniagaan di United Kigdom menyumbang kurang daripada 10% daripada keuntungan globalnya, akan membayar cukai sebanyak AS$2.2 bilion untuk tahun 2022, termasuk AS$700 juta disebabkan oleh Levi Keuntungan Tenaga yang diperkenalkan oleh kerajaan. – Agensi