Tan Sri Mohd Yussof Latiff

GEORGE TOWN – UMNO perlu memantau pemilihan dalam parti itu bagi memastikan tiada sebarang politik wang berlaku dalam pemilihan kali ini.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pembersihan dalam UMNO perlu dibuktikan dan bukan sekadar menyingkirkan pemimpin yang didakwa tidak mengikut perlembagaan parti.

Malah, parti keramat itu perlu memastikan pemilihan dalam parti berlangsung telus tanpa politik wang.

“Kita tidak boleh nafikan politik wang cukup berleluasa dalam pemilihan UMNO sebelum-sebelum ini yang mana ada bahagian yang disogok dengan wang untuk memilih calon tertentu.

“Jadi kita harap UMNO pantau isu sebegini bukan saja di peringkat kebangsaan tapi di negeri juga.

“Sebab kalau UMNO nak bersih biar dari atas sampai ke bawah ia sama bersih bukan hanya dalam perkara tertentu saja,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Yussof, nama dan imej UMNO akan terjejas sekiranya mereka gagal memastikan pemilihan berlangsung secara telus tanpa politik wang.

Pemilihan UMNO akan berlangsung selama 26 hari bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa UMNO untuk beriltizam memerangi politik wang dan mematikannya kerana amalan buruk itu menjerumus parti ke tahap paling lemah.

Beliau berkata, perbuatan berkenaan bukan saja menyebabkan UMNO tewas, tetapi menjadikan parti semakin lemah dan tidak dapat bertahan.

“Kepada semua ahli UMNO, sedarlah, politik wang adalah jelik, jijik dan sangat keji. Keji pada agama. Keji pada adat. Keji pada amalan.

“UMNO hanya untuk mereka yang bersih, berjuang, dan mengasihi bangsanya. Kita mesti membunuh politik wang, sebelum politik wang membunuh UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast