Antara perwakilan UMNO yang lain menyanyikan lagu sambil mengimbar bendera UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHD NA’IM, 11 JANUARI 2023.

Artikel ini ditulis oleh pembaca Malaysia Gazette

Ke manakah akan perginya perjuangan UMNO yang hakikat? Tiada siapa layak untuk menjawabnya, melainkan mereka yang berada dalam sistem. Justeru, persoalan kepada bawaan perjuangan suci UMNO berlandaskan Perlembagaan UMNO hanya bergantung kepada wewenang yang akan dicakna oleh mereka yang memimpin parti keramat tersebut.

Selain Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang sudah pasti menang tanpa dipertandingkan, perjawatan lain bermula dari Naib Presiden sehingga ke jawatan Ahli Jawatankuasa di peringkat cawangan harus sederap bertanggungjawab akan persoalan ini.

Jika UMNO mahu kembali menjadi Sang Singa dalam arena politik tanah air, kepimpinan UMNO di setiap peringkat termasuk para sayap, harus disusun selari dengan ideologi pemerkasaan dan memperhebatkan semula parti yang kian ditolak majoriti rakyat semasa Pilihan Raya Umum (PRU).

Antara posisi politik yang wajar diberi penekanan dalam UMNO, adalah kepimpinan Pemuda dan Puteri. Di setiap peringkat dari cawangan hingga ke pusat, wajah-wajah pemimpin Pemuda dan Puteri UMNO harus dipilih dari kalangan mereka yang ‘ada otak’, bersih dan mempunyai jiwa untuk memberi nyawa baharu kepada parti.

Mereka yang berada dalam kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO kali ini bakal mewarisi kepimpinan peringkat lebih tinggi untuk 10 dan 15 tahun mendatang. Di saat itu, negara bakal menempuh perperangan PRU17 dan PRU18 yang memperlihatkan ‘warlord’ parti UMNO kian sampai waktu pencen mereka.

Dalam bahasa mudah, jika mahu melihat pemimpin UMNO yang mewarisi parti, termasuk barisan calon-calon PRU, maka lihatlah kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO yang dipilih pada tahun 2023 ini. Jika corak dan naratif kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO masih ditahap yang lama dan sama, maka jawapannya UMNO akan tetap berada di jalan, kedudukan dan prestasi yang sama, mungkin lebih teruk.

Andai muka-muka yang lahir dalam kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO di tahun 2023 ini membentuk sebuah gelombang yang bersifat segar, versatil dan tampak ‘wow!’, maka ada harapan yang cerah buat UMNO untuk kembali diminati majoriti anak muda di Malaysia.

Sekali lagi untuk difahami, bak kata Almarhum Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi: ”Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini”. Jika mahu lihat bagaimana gambaran UMNO pada masa hadapan, lihatkan wajah-wajah pemimpin Pemuda dan Puteri UMNO yang dipilih pada tahun 2023.

Yang penting, peganglah kepada pesanan Baginda Rasulullah ﷺ yang membawa maksud: ”Dan ketahuilah pada setiap jasad itu ada seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati”.

Bagi mereka yang menawarkan diri untuk bertanding pula, selamilah ke dalam hati kecil masing-masing dan jawablah persoalan demi persoalan berkaitan perjuangan parti dan nasib rakyat yang harus dibela. Jika masuk politik dek kerana mahu meragut kekayaan dan wang ringgit untuk kepentingan diri, jijiknya kita tak ubah seperti sampah masyarakat.

Semoga siasah dalam UMNO mampu diterangkul menjadi lebih relevan dan berdaya saing oleh mereka yang menang dalam pemilihan di peringkat Pemuda dan Puteri UMNO tahun ini.

 

Oleh: Sarfarizmal Saad
Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Langkawi

 

 

 

Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast