Majlis pelancaran produk Maderm disempurnakan oleh pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam.

KUALA LUMPUR – Dalam usaha mencari dana persatuan, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi memberanikan diri menceburkan diri dalam bisnes produk kecantikan.

Jelas beliau, persatuan itu tidak boleh lagi hanya berpeluk tubuh dan menunggu dana daripada kerajaan mahu pun syarikat korporat.

Ujarnya, kaedah yang kreatif di mana mengikut permintaan dan trend masyarakat perlu direbut walaupun bidang bisnes itu berdepan risiko tinggi.

Justeru, SENIMAN menjalinkan kerjasama dengan syarikat miliknya Zs Cahaya Sdn. Bhd. mengeluarkan secara eksklusif produk kecantikan kulit iaitu Maderms Skincare di bawah jenama Maderm.

Ia sebagai menyahut cabaran mengikut trend mewujudkan jenama dan produk tempatan yang membanggakan negara.

“Pengguna lebih memilih untuk menggunakan produk tempatan kerana didorong oleh peningkatan konsep dan kualiti yang dilihat semakin baik, selain harganya yang agak berpatutan.

“Justeru SENIMAN dan Zs Cahaya Sdn. Bhd. telah menjalinkan hubungan kerjasama untuk saling berkongsi idea-idea baharu dari segi mempromosikan jenama produk Marderms yang lebih berkesan, berkualiti tinggi, selamat dan lebih menjimatkan sesuai kehendak dan segenap lapisan masyarakat.

“Walaupun sedar perlu menghadapi cabaran hebat oleh pelbagai jenama dan produk antarabangsa, jenama Maderm mampu menunjukkan perkembangan positif yang menjanjikan melalui kualiti dan harga kompetitif.

“Selain itu, kami juga bertujuan membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang ramai dan peluang menjana pendapatan bagi menampung kebajikan bukan sahaja kepada SENIMAN malah persatuan-persatuan seni dan budaya yang berteraskan kebajikan,” katanya pada majlis pelancaran Maderm malam tadi.

NX-1 Pro memberikan sumbangan kepada Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam.

Mengulas lanjut, Zed Zaidi mengakui sokongan daripada pasaran digital termasuk penggunaan media sosial merupakan satu inisiatif positif bagi menyokong perkembangan bisnesnta itu.

Justeru pihaknya  memberi peluang kepada pemasaran dalam talian (Tiktoker) untuk terlibat dengan lebih aktif bagaimana untuk membantu perkembangan barangan tempatan, terutamanya produk kecantikan untuk bersaing dengan produk berskala antarabangsa.

“Hari ini, usaha harus dilipatgandakan terutama di era sekarang yang segala-galanya terdapat di hujung jari.

“Dalam hal ini, untuk memikat hati pelanggan membeli produk Maderm, faktor seperti jenama tempatan harus ditampilkan dengan penuh kebanggaan serta kualiti produk yang tidak kalah dengan jenama-jenama lain yang ada di pasaran,” katanya. – MalaysiaGazette