KUALA LUMPUR Capital A Berhad (Capital A) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada kumpulan sasar seperti pelajar lepasan sekolah, graduan universiti, kumpulan B40, orang kurang upaya (OKU), golongan profesional dan ramai lagi.
Usahasama antara Perkeso dan cabang teknologi pendidikan Capital A, airasia academy bertujuan untuk menyokong perkembangan ekonomi negara menerusi pembangunan sumber tenaga terlatih profesional yang lebih inklusif dan menghubungkan mereka dengan peluang pekerjaan teknologi yang mendapat permintaan tinggi di seluruh Malaysia.
Kerjasama antara kedua-dua pihak turut melibatkan penempatan pekerjaan menerusi rangka kerja Perkeso termasuk pangkalan koleksi Caruman dan MYFutureJobs, portal Pekerjaan Nasional Malaysia untuk semua pencari kerja dan majikan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan algoritma pemadanan untuk memastikan padanan kerja yang tepat berdasarkan kemahiran dan kecekapan pencari kerja.
Presiden (Pelaburan dan Usahaniaga) Capital A, Aireen Omar berkata, pemulihan ekonomi negara kini bergerak pantas dengan permintaan tinggi terhadap bakat teknologi dalam pelbagai sektor yang sedang melalui proses transformasi digital.
”Usahasama kami dengan Perkeso akan meningkatkan bilangan peserta untuk dilatih dan ditempatkan oleh airasia academy dan membuka peluang pekerjaan lumayan kepada tenaga kerja yang diberi kemahiran semula atau ditingkatkan kemahiran mereka selain generasi baru bakat teknologi untuk Revolusi Industri Keempat (IR4.0),” katanya selepas menandatangani dan bertukar MOA dengan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohamed Azman Aziz pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Karnival dua hari itu disertai lebih 100 majikan dari pelbagai sektor seluruh negara yang menawarkan peluang pekerjaan yang lebih inklusif. Untuk mencapai misi tersebut, PERKESO juga bekerjasama dengan Persatuan Teknologi Nasional Malaysia (PIKOM), Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) dan Management & Science University (MSU).
Sementara itu, Aireen menambah, airasia academy akan meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja Perkeso dengan Kemahiran Digital dan Insaniah menerusi langganan pembelajaran atas permintaan (ODL) untuk menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam organisasi berkenaan.
”Kami akan melaksana dan menggunakan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) yang baru dibangunkan untuk memantau, mengikuti dan menilai prestasi pembelajaran pekerja PERKESO. LMS juga berfungsi sebagai platform untuk PERKESO memuat naik modul latihan dan bahan rujukan untuk tenaga kerjanya,” tambah beliau.
Diiktiraf atas sumbangannya ke arah pembangunan modal insan Capital A (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Berhad) oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDC) baru-baru ini, airasia academy memainkan peranan penting dalam membangunkan sumber tenaga teknologi untuk mengurangkan jurang bakat menerusi latihan ‘reskill dan upskill’ untuk tenaga kerja lama dan baru agar mereka tangkas dan kompetitif dalam ekonomi digital.
Platform teknologi pendidikan yang berkembang pesat itu menawarkan ekosistem komprehensif bagi memenuhi keperluan pembelajaran dan penempatan semua pelajar dengan ODL yang mampu milik, mudah diakses dan inklusif selain latihan pengajar diterajui atau Instructor-Led Training (ILT) bagi kursus teknologi popular seperti Pemasaran Digital, Infrastruktur Awan, Analisis Data, Kejuruteraan Perisian dan Keselamatan Siber sehingga LMS yang memperkemas proses pembelajaran selain Penempatan Kerja untuk para graduan. – MalaysiaGazette