Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah) melawat ke makmal Drone selepas Majlis Pelancaran Makmal Pengajian Industri: ‘DroneCubator-Makerxlab’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 13 FEBRUARI 2023.

BANGI – Industri Dron Negara dijangka menyumbang 4.3 peratus daripada keseluruhan pasaran global pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, nilai industri itu dijangka mencecah sehingga RM12.13 bilion.

“Perkara melibatkan penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu adalah salah satu komponen tumpuan kerajaan hari ini, dan perkara itu akan diberi perhatian dalam pembentangan Bajet 2023 akan datang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan makmal pengajaran industri dronecubator-makerxlab di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Program dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MoF) itu akan dikendalikan oleh Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) serta anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah MoF, Futurise.

Program Dronecubator ini turut mendapat bekerjasama Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (Aksadron) yang bertujuan melatih bakat-bakat baharu serta memberi pendedahan tentang teknologi sukan dron.

Ahmad berkata, berdasarkan kajian pasaran pada 2021, industri dron global dijangka menjana nilai pasaran berjumlah AS$41.3 bilion (AS$1=RM4.36).

“Ini satu yang cukup besar dan Malaysia berazam untuk melibatkan diri dalam teknologi dron ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette