perkauman
Rakyat Malaysia secara keseluruhan perlu bersikap matang dan tidak perlu mudah melatah atau menokok tambah setiap kali timbul kenyataan kontroversi berunsur perkauman.- Gambar hiasan.

BELUM pun sempat Kerajaan Perpaduan mencapai usia tiga bulan, negara digemparkan dengan tiga insiden kontroversi yang berpunca daripada kenyataan berunsur perkauman.

Insiden pertama melibatkan pemain hoki wanita kebangsaan, Hanis Nadiah Onn yang didapati menaikkan komen berbaur perkauman dalam media sosial semasa konsert AR Rahman pada 28 Januari 2023.

Beliau telah menerima padah akibat keterlanjurannya itu apabila digantung dan tidak dibenarkan mewakili negara di temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

Hanis Nadiah Onn

Belum pun reda isu tersebut, timbul pula kontroversi baharu yang dicetuskan oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy pada 10 Februari lalu.

Pemimpin DAP itu dilaporkan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kenyataan Ramasamy itu dikecam banyak pihak termasuk oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat yang kesal kerana beliau membuat tuduhan yang berat dan tidak berasas.

Semalam, Ramasamy mendakwa kenyataannya telah diputarbelit dan setakat ini belum diketahui apakah bentuk tindakan yang bakal diambil oleh DAP terhadap beliau.

P. Ramasamy.- Foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2019

Tidak cukup dengan itu, dalam masa beberapa hari lalu, bekas pemain pelapis percubaan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Bong Guang Yik pula mendakwa pengurusan badan induk sukan badminton negara itu teruk kerana diuruskan oleh kaum Melayu yang dianggapnya sebagai pemalas.

Ibarat menambah garam ke luka, Guang Yik turut menyalahkan solat lima waktu bagi mewajarkan alasan menuduh kaum Melayu tidak mempunyai niat untuk menguruskan BAM.

Permohonan maaf secara terbuka oleh Guang Yik semalam masih tidak dapat meredakan kekesalan rakyat terhadapnya dan mereka mahu dia dikenakan tindakan yang tegas ekoran kenyataan berunsur perkauman itu.

Bong Guang Yik

Komen-komen para netizen berhubung tiga kontroversi tersebut lebih memburukkan keadaan di mana ada yang menggunakan perkataan yang kesat dan lebih rasis bagi meluahkan perasaan mereka.

Situasi sebegini memang amat menyedihkan kerana setelah hampir 66 tahun negara kita merdeka, masih ada pemimpin dan rakyatnya yang belum keluar dari kepompong perkauman peninggalan dasar pecah dan perintah penjajah British dahulu.

Mereka lebih cenderung mengambil jalan mudah untuk menyalahkan kaum atau penganut agama lain atas setiap isu atau masalah yang berlaku, seolah-olah tidak memikirkan kesan negatif kenyataan mereka terhadap perpaduan rakyat.

Kita boleh sahaja bergurau, memberi pandangan dan mengkritik dalam satu-satu isu tanpa perlu menyinggung sensitiviti mana-mana kaum dan agama.

Misalnya, Ramasamy boleh sahaja menggunakan pengaruhnya sebagai pemimpin politik untuk menggalakkan lebih ramai kaum bukan Melayu memohon untuk menyertai sektor awam lebih-lebih lagi dalam cabang pertahanan dan keselamatan.

Jika tidak ramai yang memohon, sudah tentu jumlah yang berkhidmat juga kurang. Elok juga Ramasamy merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran sebenar.

Guang Yik pula pasti menimba banyak pengalaman yang berharga di China yang boleh dikongsi untuk membantu usaha menjulang kembali nama negara dalam arena badminton antarabangsa.

Lebih baik jika beliau menularkan video mengandungi cadangan dan kritikan membina tanpa perlu menyentuh amalan agama lain serta melabel kaum tertentu sebagai pemalas.

Begitu juga dengan Hanis Nadiah yang seharusnya mengambil iktibar dan lebih berhati-hati ketika ‘melawak’ kerana sebagai atlet kebangsaan, tutur kata dan tulisannya sentiasa diperhatikan oleh rakyat.

Rakyat Malaysia secara keseluruhan perlu bersikap matang dan tidak perlu mudah melatah atau menokok tambah setiap kali timbul kenyataan kontroversi berunsur perkauman. Serahkan kepada kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan.

Walau apa pun, sikap dan amalan rasis perlu dibanteras habis-habisan oleh Kerajaan Perpaduan agar rakyat berbilang kaum dan agama dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Isu perkauman sekian lama jadi mainan kongsi kuasa politik mudah diselesaikan seperti di negara-negara kecil bekas jajahan British macam Qatar, UAE, dan Kuwait amat disukai oleh majority migran bukan pribumi ada hak asasi warganegara asal daripada negara-negara asal mereka masing-masing tanpa diberi hak warganegara tempatan walaupun tinggal lama sehingga ke cucu-cicit bayar cukai yang memperkayakan pribumi Pak Arab tersebut politikus Pak Pandir ooii!

Comments are closed.