logo luar negara
Gambar hiasan

LIMPOPO – Seramai 20 orang maut dalam perlanggaran antara sebuah bas dan van di jalan utama wilayah Limpopo, utara Afrika Selatan.

Pegawai pengangkutan dan syarikat perubatan kecemasan berkata, selepas kemalangan itu, bas tersebut terbabas dari jambatan di lebuh raya ke dalam sungai.

“Tiga orang ditemui mati di tepi jalan dan 16 orang di tepi sungai manakala seorang lagi mangsa meninggal dalam perjalanan ke hospital.

“Seramai 68 orang telah mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital,” katanya.

Menurutnya, penyelam polis telah dihantar untuk mengesahkan tiada siapa yang dihanyutkan oleh sungai.

“Polis sedang menyiasat keadaan sekitar kemalangan itu dan hujan lebat telah turun di kawasan kejadian berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, jabatan pengangkutan Limpopo berkata, nahas itu berlaku kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan dan bas itu membawa penumpang dari bandar Makhado ke kawasan di daerah Vhembe di wilayah itu. – Agensi