GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus di sini malam tadi.
Ini adalah kemalangan maut pertama di lebuh raya berkenaan sejak ia dibuka pada 13 Januari tahun lalu.
Kemalangan pukul 11 malam itu menyebabkan Low Bob Heong, 64, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan di kepala selain kaki kiri hancur sepenuhnya.
Difahamkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 itu dalam perjalanan ke rumahnya di Balik Pulau dari arah Paya Terubong.
Manakala pemandu kereta jenis Honda City itu pula dari arah Relau menghala Paya Terubong.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggangi mangsa dilanggar kereta terbabit ketika mangsa cuba membelok masuk ke laluan Balik Pulau.
Impak pelanggaran yang kuat menyebabkan mangsa terseret kira-kira 34 meter dari lokasi motosikalnya terjatuh.
Mangsa maut di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala manakala pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Mayat mangsa dihantar ke Hopsital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saksi awam yang melihat kejadian diminta tampil atau menghubung balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” kata beliau.
Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus bernilai RM378.2 juta itu mula dibuka kepada orang awam pada Januari tahun lalu dan ia merupakan antara peruntukan paling besar yang dibiayai oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan setakat ini.
Projek tersebut juga merupakan lebuh raya tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 61.5 meter. – MalaysiaGazette