Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek beramah mesra bersama sebahagian pelajar ketika hadir pada hari pertama peperiksaan bertulis SPM 2022 di SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi,,Selangor. Foto MUHD NA’IM, 20 FEBRUARI 2023.

BANGI – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melakukan proses intervensi bagi mengenalpasti punca kejadian vandalisme di sebuah sekolah di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Pulau Pinang, pada Jumaat lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dalam proses intervensi itu, sesi kaunseling turut diberikan kepada semua pelajar-pelajar terlibat bagi memastikan punca kejadian.

“Saya rasa kita telah selesai siasatan dan telah memanggil ibubapa mereka, dan telah melakukan pelbagai intervensi.

“Proses intervensi ini telah dilakukan oleh JPN dan PPD. Kaunseling juga kita telah susuli dan selepas ini kita akan lihat hasil daripada kaunseling itu apa yang menyebabkan mereka jadi begitu,” katanya, hari ini.

Fadhlina berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan hari pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, awal pagi ini.

Sejumlah 232 orang pelajar mengambil peperiksaan SPM di sekolah ini manakala 120 calon persendirian turut mengambil peperiksaan sama di sekolah ini.

Sebelum ini, KPM menyatakan telah mengenalpasti identiti sekumpulan pelajar yang melakukan kerosakkan harta benda di sekolah berkenaan.

Malah pelajar berkenaan telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung tindakan mereka.

Dalam pada itu, Fadhlina menasihatkan agar pengguna-pengguna media sosial agar menurunkan video viral berkenaan kerana boleh mengganggu proses intervensi KPM.

Katanya lagi, identiti pelajar-pelajar tersebut juga perlu dilindungi kerana melibatkan faktor siasatan KPM.

“Sesiapa yang masih viralkan video ini kita minta turunkan sebab nak jaga dan lindungi kanak-kanak ini dan diberikan kaunseling berterusan.

“Kita bimbang jika ianya terus diviralkan, proses intervensi kita itu tidak dapat dijalankan dengan baik,” katanya.

Fadlina berkata, kementeriannya telah menyerahkan kepada pihak sekolah untuk mengambil tindakan dalam menangani perkara tersebut daripada berulang.

“Ini anak-anak kita dan kita jangan putus asa dan saya faham ramai yang marah dengan kejadian tersebut tapi anak-anak ini mesti diberikan peluang untuk didikan dan teguran dan juga kaunseling yang berterusan

“Saya sudah serahkan isu disiplin ini kepada pihak sekolah dan saya percaya pihak sekolah telah ambil beberapa tindakan khusus untuk menangani masalah disiplin ini,” katanya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial dua klip video memaparkan tindakan beberapa pelajar-pelajar sekolah dipercayai sekolah menengah yang dilihat membaling kerusi plastik serta menendang pintu tanpa sekolah selepas sesi terakhir sekolah pada Jumaat. – MalaysiaGazette