BAYAN LEPAS – Seorang pengawal keselamatan melecur pada badan dan muka selepas berlaku satu letupan akibat kebocoran gas di rumahnya di Flat Taman Sri Bayu di sini, hari ini.
Wanita berusia 55 tahun yang berasal dari Gerik, Perak itu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu turut mengakibatkan beberapa bahagian rumah berkenaan mengalami kebakaran selain barang-barang berselerakan di atas lantai akibat impak letupan.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Zaiful Arif Mat Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.18 pagi.
“Ketika tiba di lokasi kita didapati berlaku letupan akibat kebocoran gas memasak di unit rumah berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat penghuni wanita berusia 55 tahun mengalami kecederaan iaitu melecur sehingga 60 peratus pada bahagian muka dan badannya.
“Mangsa yang sedang bercuti itu dihantar ke HPP untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Zaiful Arif, kebakaran itu telah dipadamkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10 pagi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette