KUALA LUMPUR – Tiket konsert Hearts of Harris 4.0 akan mula dijual di platform atas talian pada jam 3 petang Jumaat ini.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer, konsert Harris 4.0 bakal menggegarkan Arena Axiata Bukit Jalil dengan bukan sahaja persembahan luar biasa komposer dari India, Harris Jayaraj sebaliknya akan disertai pelbagai penyanyi popular yang baharu.
“Permintaan dan sokongan peminat di negara ini sungguh memberangsangkan malahan Harris sendiri terkejut dengan ‘permintaan demi permintaan’ anjur konsert beberapa kali di tempat yang sama. Hasilnya juga mengkagumkan kerana tiket masih terjual seperti ‘pisang goreng’.
“Beliau bukan sahaja kagum malah begitu gembira untuk berterusan mengadakan konsert beliau di Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur. Ramai peminat kecewa kerana hanya 10 hingga 12,000 tiket sahaja dijual walhal peminatnya di seluruh negara mencecah ratusan ribu.
“Malah ramai juga dalam kalangan peminat Melayu turut mendominasi penjualan tiket ini. Semua kerana minat kepada muzik insan bernama Harris Jayaraj. Sememangnya kita di Malik Streams dan MS Gold begitu teruja sekali, bangga kerana nama Malaysia terus menjadi siulan dan sebutan.
“Ada juga peminat di negara jiran seperti Singapura dan juga India sanggup berhabis duit untuk datang ke sini semata-mata menonton konsert beliau. Malaysia juga kini terkenal sebagai pusat penganjuran konsert-konsert mega seperti ini, peminat fanatik pastinya tidak akan sesekali melepaskan peluang.
“Untuk saya secara peribadi malah keseluruhan warga Malik Streams, kami gembira dapat berkhidmat sambil berhibur dan mempromosi nama Malaysia yang begitu kaya dengan pelbagai budaya, identiti Asia,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Difahamkan konsert Harris 4.0 yang akan berlangsung pada 18 Jun di Stadium Axiata Bukit Jalil akan turut menampilkan kelainan dengan kehadiran penyanyi terkenal seperi Bombay Jayashri, Tippu, Kartik, Harini, Gautham Menon dan ramai lagi.
“Sememangnya ada kelainan kerana kita pasti ada juga peminat yang akan beli kembali tiket untuk 4.0, untuk golongan itu kita tidak sesekali kecewakan mereka, sekurang-kurangnya 40 peratus persembahan lagu-lagu baharu yang bukan dari konsert terdahulu. Itu janji dan perancangan kita, pastinya yang terbaik sahaja,” ujarnya.
Harris dikenali di peringkat antarabangsa menerusi album sulung, Minnale pada 2001, selain banyak menghasilkan runut bunyi bagi filem Tamil.
Dia memulakan karier sebagai pemain gitar dan pernah meraih pengikitrafan serta anugerah sepanjang hayat daripada Kerajaan Tamil Nadu.
Sejak 2001, Harris sudah memenangi pelbagai anugerah dan pernah menjalin kerjasama dengan artis Malaysia menerusi album Dhaam Dhoom dan Iru Mugan.
Selain Malaysia, Harris bakal mengadakan konsert di Chennai dan London. – MalaysiaGazette