KAJI selidik mega yang dibuat oleh firma penyelidikan O2 Malaysia dengan kerjasama lima media arus perdana, iaitu Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban, menimbulkan sedikit kontroversi.
Ini kerana kaji selidik yang dibuat dari 6 Februari hingga 16 Februari 2023 ini membabitkan 35,077 pembaca dan pelayar agensi media ini mendapati bahawa majoriti kaum Melayu merasakan Kerajaan Perpaduan tidak berprestasi dengan baik selama 100 hari memerintah.
Antara aspek yang ditekankan ialah 71% Melayu Semenanjung menyatakan tidak berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan menunaikan manifesto PRU15 mereka dan 53% Melayu Semenanjung menyatakan ekonomi negara bertambah buruk.
Kaedah kaji selidik dan keabsahan pemilihan responden dipersoalkan oleh Ketua Pengarah J-KOM, Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff, kerana ia dikatakan tidak dibuat secara sistematik serta tidak mencerminkan realiti sebenar di bawah.
Bandingan juga dibuat dengan kaji selidik Merdeka Center pada 26 Disember 2022 hingga 15 Januari 2023 yang lebih positif dapatannya, iaitu 60% responden Melayu berpuas hati terhadap prestasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, pula dilapor akan meminta penjelasan agensi berita yang terlibat selain menyelar kaji selidik tersebut dengan menanyakan adakah ia cubaan untuk mempromosikan sesuatu atau memperdayakan rakyat.
Dr Murray Hunter, dalam artikel bertajuk “Do opinion polls spell doom for Anwar and his government?”, pula menggunakan dapatan 71% Melayu Semenanjung tidak berpuas hati terhadap Kerajaan Perpaduan untuk membuat jangkaan prestasi lemahnya dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau mendakwa dapatan kaji selidik tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan mungkin akan hilang popularitinya secara bertahap dengan cubaan Anwar untuk menarik sokongan Melayu yang dibuatnya didakwa gagal malah mungkin menjauhkan undi bukan Melayu.
Lebih jauh lagi, Anwar didakwa gagal untuk memberi inspirasi kepada negara dan perlu cepat menukar hala tuju kerana kaji selidik tersebut didakwa menunjukkan Kabinet beliau kekurangan bakat menyebabkan komposisinya perlu ditukar untuk menyelamatkan Kerajaan Perpaduan.
Pandangan saya ialah, dalam sesebuah negara demokrasi, kita tidak boleh menghalang mana-mana pihak daripada membuat apa-apa kaji selidik yang bertujuan meninjau sentimen rakyat berhubung prestasi dan populariti pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.
Lima media arus perdana yang terlibat, iaitu Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban, mungkin merasa bertanggungjawab untuk memberikan maklum balas pembaca dan pelayar mereka bagi meningkatkan keberkesanan Kerajaan Perpaduan.
Pada masa sama, saya bersetuju dengan kenyataan Mohammad Agus bahawa mana-mana kaji selidik yang dibuat mestilah memenuhi kaedah pensampelan yang betul, baik dari sudut umur, etnik, jantina, tahap pendidikan, taburan pendapatan dan lokaliti mereka.
Jika kesemua perkara ini tidak jelas, dan profil responden tidak selari dengan profil sebenar pengundi atau rakyat Malaysia, maka hasil dapatan kaji selidik tersebut akan menjadi tidak betul dan kesimpulan yang diperolehi daripadanya akan mengelirukan masyarakat.
Satu lagi perkara penting yang perlu diambil berat ialah tempoh 100 hari pentadbiran adalah terlalu awal untuk mengukur prestasi sesebuah kerajaan kerana dalam tempoh 100 hari ini lazimnya mana-mana kerajaan baharu masih berada di peringkat perancangan atau pelancaran.
Tempoh waktu yang lebih ideal untuk mengukur prestasi sesebuah kerajaan adalah setahun atau sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh ia dibentuk kerana dalam tempoh ini sebahagian daripada dasar-dasar yang diputus untuk dilaksanakan telah dapat direalisasikan.
Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan hanya mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022, sedangkan kaji selidik tersebut dilakukan pada 6 Februari 2023, iaitu sekitar dua bulan sahaja daripada tarikh dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 Menteri memulakan tugas.
Oleh itu, pengukuran prestasi Jemaah Menteri dalam tempoh masa sekitar dua bulan ini kelihatan tidak begitu selari dengan tajuk kaji selidik tersebut, iaitu “Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim & Kerajaan Perpaduan”.
Adalah lebih meyakinkan sekiranya kaji selidik tersebut dibuat oleh agensi kerajaan yang berwibawa seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), institut pengajian tinggi tempatan atau badan kaji selidik yang neutral.
Media arus perdana mahupun media sosial tidak dinafikan peranan besarnya dalam pemerintahan kerajaan sehinggakan tokoh seperti Thomas Carlyle menggelarkan media sebagai the ‘Fourth Estate of the Realm’ yang berfungsi sebagai pegawas kepada kerajaan.
Walaupun begitu, perkara-perkara yang memerlukan kepakaran ilmiah seperti membuat kaji selidik ini bukanlah satu kemahiran media kerana ia memerlukan bantuan dan pedoman daripada badan-badan ilmiah yang lebih mengetahui mengenai metodologi diperlukan.
Kaji selidik ini agak bahaya jika tidak dibuat dengan betul kerana ia hanya didasarkan kepada persepsi bukan realiti yang dipandukan kepada data sebenar seperti pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) yang dikehendaki daripada seseorang menteri atau kementerian.
Sehubungan itu, terlalu awal (premature) untuk Murray membuat dakwaan Anwar gagal untuk memberi inspirasi kepada negara dan perlu cepat menukar hala tuju atau Kerajaan Perpaduan mungkin akan popularitinya secara bertahap kerana ia didasarkan atas premis salah.
PRN di enam negeri yang bakal berlangsung selepas Jun ini juga boleh menjadi satu referendum yang lebih baik untuk menilai penerimaan rakyat ke atas Kerajaan Perpaduan kerana PN mendakwa mereka boleh memenanginya dengan prestasi yang sama dengan PRU15.
Masa sama, penilaian yang sewajarnya boleh dibuat oleh institusi yang berwibawa dengan menggunakan metodologi yang betul setelah gagasan Malaysia Madani yang dilancarkan pada 19 Januari dan Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Februari mula dilaksanakan.
Jika tidak, maka pastilah akan timbul spekulasi seperti yang disebutkan oleh Fahmi sama ada ia berupa cubaan untuk mempromosikan sesuatu atau memperdayakan rakyat.
OLEH: Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) merangkap bekas Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Malaysia.