Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi dan Digital, Presint 4, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Penubuhan sebuah jawatankuasa khas berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak diperlukan, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Ahmad Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, ini kerana proses mendapatkan semula dana tersebut sedang dilakukan agensi-agensi terlibat.

Bagaimanapun, Ahmad Fahmi berkata, penubuhannya boleh diteliti sekiranya ia merupakan satu mekanisme penting untuk mempercepatkan proses mengembalikan dana itu.

“Pada ketika ini, perkara itu (penubuhan) tidak dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri dan proses untuk mendapatkan semula dana itu sedang berjalan selain ada beberapa perkara dikenal pasti segera dalam usaha mengembalikan wang rakyat.

“Proses (pengembalian dana) itu boleh dilihat apabila kerajaan sudah pun berjaya mendapat persetujuan pengembalian lebih RM8.1 bilion daripada syarikat Internatio­nal Petroleum Investment Company (Ipic) dan Aabar Investments PJS, sekali gus merupakan satu kemenangan untuk rakyat,” katanya pada sidang akhbar pasca Mesyuarat Kabinet di KKD hari ini.

Tambah Ahmad Fahmi, penubuhan jawatankuasa itu masih boleh dibincangkan secara khusus dengan tidak menolak kemungkinan ia akan dibawa ke perhatian perdana menteri.

“Semestinya kita nak lihat di mana lagi pihak-pihak yang terkait dengan isu 1MDB ini sekiranya perlu mereka mengembalikan wang tersebut dan jika mekanismenya untuk mempercepatkan proses itu kita perlu wujudkan satu jawatankuasa khas yang khusus, maka saya percaya akan diteliti,” ujar beliau.

Ahmad Fahmi sebelum ini mengulas mengenai cadangan penubuhan satu jawatankuasa khas berhubung skandal 1MDB membabitkan bank Goldman Sachs akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Isu ini dicetuskan oleh  Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menggesa agar kerajaan meneliti kembali peranan peguam yang mewakili 1MDB kerana tidak memfailkan saman kepada bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs.- MalaysiaGazette

Johari mahu kerajaan siasat peguam, individu berunding dengan Goldman Sachs

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast