Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Program Mini Townhall Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 MAC 2023.

PUTRAJAYA – Banyak isu terutama soal ekonomi dan masalah orang Melayu masih belum dapat ditangani sebaiknya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki 100 hari pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berkata, pelbagai janji yang dibuat Anwar sebelum ini juga masih belum ditunaikan.

“Perdana Menteri membuat kenyataan tiap-tiap hari, macam-macam dia nak buat, tetapi keadaan tidak bertukar.

“Kita masih hadapi masalah kemelesetan ekonomi, masalah orang Melayu tidak ditangani, masalah politik yang tidak stabil dan sebagainya.

“Selain itu janji yang dibuat olehnya belum nampak ditunaikan, cuma bercakap sahaja. Kita lihat apa juga yang disebut Perdana Menteri ialah cuma untuk sokongan orang ramai kepadanya,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kiri) bersama Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar (kanan) dan Ahli Majlis Tertinggi Muafakat Nasional (NGO), Datuk Zuraida Kamaruddin (dua kanan) ketika hadir pada Mini Townhall Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 MAC 2023.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang Bersama Tun M di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Turut hadir dua bekas menteri Kabinet, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Zuraida Kamarudin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai 100 hari Anwar sebagai Perdana Menteri pada hari ini.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, pada 24 November tahun lalu.

Tempoh 100 hari bukan satu masa yang begitu panjang, namun cukup untuk memperlihatkan komitmen dan ketegasan beliau termasuk memperkenalkan gagasan Malaysia Madani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast