Gambar hiasan

BACHOK- Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya yang tergelincir di Pantai Kemayan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata dalam kejadian kira-kira 8 pagi, mangsa Ahmad Fadhlullah Mohamad, 12, belum ditemukan selepas cuba menyelamatkan Muhammad Nabil Irfan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir dari benteng batu di pantai terbabit.

“Ketika kejadian, Muhammad Nabil dipercayai tergelincir jatuh ke laut dan melihat situasi itu Ahmad Fadhlullah dan kakaknya Nurul Afiqah, 19, terjun untuk menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, Muhammad Nabil akhirnya dapat diselamatkan tetapi Ahmad Fadhlullah hilang dibawa ombak besar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). – BERNAMA