Seorang penunggang maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya semasa merempit di Klang. Ihsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda maut manakala rakannya parah selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi tadi.

Mereka disyaki merempit dalam sekumpulan kira-kira 10 motosikal ketika kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku di Persiaran Raja Muda Musa, Klang semasa kedua kedua-duanya sedang dalam perjalanan dari arah Kompleks Sukan Pandamaran menghala ke Pelabuhan Klang.

“Kemalangan itu telah mengakibatkan kedua-dua penunggang motosikal itu parah.

“Siasatan awal polis mendapati punca kemalangan disebabkan mereka bersaing sesama sendiri dengan menunggang secara laju, melulu dan membahayakan diri di jalan awam,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Akibat kejadian itu, kedua-dua motosikal mangsa telah bergesel sesama sendiri dan tidak dapat mengawal motosikal lalu terjatuh.

Katanya, kedua-dua mangsa lelaki tempatan berumur 19 tahun telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dalam keadaan parah.

“Namun, seorang mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 pagi tadi manakala seorang lagi masih dirawat di zon merah kerana mengalami kecederaan parah pada organ jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Dalam pada itu, Hoong Fong menambah, keluarga lelaki yang meningggal dunia itu sudah membuat laporan polis di Balai Polis Trafik.

Polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan tersebut supaya berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Syahirah Kamsani di talian 0124470162 atau menghubungi Balai Polis Trafik Klang Selatan melalui talian 0333722222 bagi membantu siasatan polis.

Kes kemalangan ini sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1)APJ 1987. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kemalangan yang sangat mengejutkan dan mengerikan Allahuakbar Innalillahiwainnalillahirajiun salam takziah dan dukacita saya mewakili keluarga saya mengucapkan salam tersebut kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan yang tidak terduga itu. saya juga turut berasa sedih dan duka apabila mendengar berita tentang kemalangan jalan raya tersebut di Klang. semoga arwah mangsa kemalangan dicucuri rahmat dan berada dalam kalangan orang-orang beriman aamin yaraballamin..

Comments are closed.