PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan tindakannya yang menahan reman Bendahari Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Salleh Bajuri, 2 Mac lalu.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan dibuat selepas pegawai penyiasat agensi itu merasakan ada keperluan berbuat demikian berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.
“Kita sebagai agensi penguatkuasa ini, kami ikut peraturan dan undang-undang yang ada.
“Saya serahkan kepada pegawai penyiasat saya, mereka memikirkan ada keperluan untuk menjalankan tangkapan dan reman, maka ada keperluan atau kehendak siasatan ketika itu.
“Ini adalah satu kuasa budi bicara yang akan digunakan oleh kita dari semasa ke semasa mengikut kepada kesesuaian berkenaan,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Sabtu lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan menegaskan, tiada sebab munasabah SPRM menahan reman Bendahari Agung parti itu atas alasan siasatan.
Hamzah berkata, ini kerana Salleh sentiasa memberi kerjasama penuh kepada siasatan SPRM sejak Januari lalu.
Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan SPRM adalah sebahagian daripada tekanan yang diberikan kepada pegawai dan pemimpin Bersatu untuk mencari kesalahan yang tidak wujud.
Salleh ditahan reman selama dua hari oleh SPRM bermula 2 hingga 3 Mac lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 1 Mac lalu untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh Bersatu kepada pembekal dan vendor parti.
Ia merupakan penahanan ketiga membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa. – MalaysiaGazette