Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail digesa menjelaskan kriteria dalam memberi pengecualian kepada UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung keputusan usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, kenyataan terbaharu menteri berkenaan dilihat bercanggah dengan surat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bertarikh 2 Mac 2023.

Jelas beliau, surat tersebut mengatakan bahawa jabatan itu mendapati usul tambahan UMNO yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 adalah tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan perlembagaan parti berkenaan.

Dalam masa yang sama, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata, RoS dalam surat yang sama memutuskan usul tambahan berkenaan adalah tidak sah.

“Ini adalah kerana, sebagai seorang awam, apatah lagi seorang Ahli Parlimen kita telah dapat mengesahkan satu surat  yang ditujukan kepada UMNO yang mana dalam perenggan kedua surat ini jika benar mengatakan bahawa berdasarkan semakan dan surat UMNO bertarikh 27 Januari, 2 Febuari dan 14 Febuari, jabatan ini mendapati bahawa usul tambahan UMNO yang diputuskan dalam PAU adalah tidak teratur serta bertentangan dengan bercanggah dengan perlembagaan UMNO.

“Justeru dengan kuasa diperuntukkan kepada RoS keputusan usul tambahan yang mana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingan pada pemilihan parti akan datang adalah tidak sah.

“Saya tidak tahu surat ini tulen atau tidak tetapi ianya bercanggah dengan kenyataan akhbar atau media yang diberikan Menteri Dalam Negeri yang mengatakan bahawa telah memutuskan memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 Akta 832 kepada UMNO,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, isu tersebut melibatkan kepentingan awam, sekali gus mencetuskan pertikaian dan kekeliruan parti politik yang lain dalam negara.

“Kalau inilah amalan yang dilakukan adakah pertubuhan lain boleh mencontohinya, saya mahu tahu daripada Menteri Dalam Negeri, adakah ini fakta bukan duluan yang mengikat (binding precedent) untuk mana-mana pertubuhan. Ini adalah perkara cukup penting untuk diperjelaskan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Saifuddin menerusi kenyataan awal pagi tadi berkata, pengecualian yang diberikan kepada UMNO adalah berdasarkan Seksyen 70 Akta 832.

“Merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO, kementerian (KDN) berdasarkan Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan UMNO yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette