Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Bintang, Muzafar Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertimbangkan pengeluaran wang Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) khas seperti yang dicadangkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mengurangkan beban kewangan rakyat.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Bintang, Muzafar Ali berkata, luahan rakyat berhubung perkara itu tidak boleh dipandang remeh memandangkan keadaan ekonomi pasca pandemik kini dilihat agak mendesak.

“Apa yang disumbangkan kerajaan sebanyak RM500 ke dalam akaun pencarum itu satu inisiatif yang baik, namun hakikatnya sebahagian bekas pancarum terdesak untuk menggunakan wang bagi kelangsungan hidup hari ini.

“Kita bimbang jika kerajaan tidak membenarkan pengeluaran KWSP mungkin buat kali terakhir, ia akan menyebabkan ada di antara pencarum yang terdesak akan meminjam ceti atau along yang hanya akan menambah masalah beban kepada mereka.

“Saya sendiri ada berjumpa dengan beberapa pencarum yang dibuang kerja ketika pendemik melanda, dan kini sedang berusaha untuk membangunkan semula ekonomi keluarga.

“Mereka meluahkan rasa resah dalam keadaan ekonomi yang mendesak apatah lagi, umat Islam bakal menyambut puasa, hari raya dan pembukaan sekolah dalam tempoh terdekat ini.

“Sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP ini, maka sudah tentu ia dapat banyak membantu mereka meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muzafar merupakan salah seorang calon yang bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada pemilihan parti itu, 18 Mac ini.

Tambah beliau, sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP kali ini, ia perlu dibuat secara bersasar untuk golongan yang memerlukan sahaja.

“Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertimbangkan perkara ini. Justeru, merupakan hasrat rakyat yang kini terdesak dari sudut kewangan bagi meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Saya yakin perkara itu bukan satu masalah besar memandangkan dua Perdana Menteri sebelum ini, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah membenarkan pengeluaran KWSP bagi meringankan beban pencarum yang terkesan akibat pandemik yang melanda negara sebelum ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette