KUALA LUMPUR – Mana-mana premis misi diplomatik tidak boleh dicabuli dan perlu bebas daripada sebarang usaha untuk mendapatkan maklumat mengenainya termasuk nilai hartanah semasa.
Sekretariat Khas Sulu dalam satu kenyataan berkata, premis diplomatik itu juga kebal daripada sebarang usaha carian, permintaan, penahanan mahu pun permintaan di bawah Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik.
“Malaysia berpendirian bahawa ia tidak mengiktiraf timbang tara komersial yang dikatakan dimulakan oleh pihak menuntut Sulu.
“Malah Malaysia akan terus bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatannya melalui forum undang-undang yang sesuai,” kata Sekretariat Khas Sulu dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, bailif Perancis cuba menguatkuasakan perintah rampasan terhadap tiga hartanah di Paris yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia dalam kes yang dikaitkan dengan anugerah mahkamah AS$15 bilion kepada keturunan bekas sultan Sulu pada Isnin lalu.
Media melaporkan bailif cuba menilai hartanah itu berikutan perintah rampasan yang dikeluarkan mahkamah pada Disember lalu tetapi pegawai Malaysia di Kedutaan Perancis menolak tindakan mereka.
Pihak yang dikatakan waris kepada Sultan Sulu yang terakhir di Filipina sedang berusaha untuk menguatkuasa anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh Mahkamah Timbang Tara Perancis tahun lalu untuk menyelesaikan pertikaian dengan Kerajaan Malaysia berhubung perjanjian tanah era penjajah.
Dalam pada itu, Malaysia berhasrat memanggil pihak menuntut Sulu untuk hadir ke mahkamah untuk mendapatkan pembatalan pendaftaran gadai janji.
“Gadai janji berkanun bukanlah satu langkah penguatkuasaan semata-mata,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette