BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita melecur di kaki manakala ibunya terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbakar di Kilometer 134, Lebuh Raya Utara Selatan menghala utara, di sini, hari ini.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Syamzul Razman Abd Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.55 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi kita dapati kebakaran membabitkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dinaiki dua wanita berusia 22 dan 54 tahun.
“Dua beranak itu berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba.
“Anggota pasukan membantu memadamkan kebakaran dan api berjaya dikawal pada jam 3.08 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kenderaan berkenaan mengalami kemusnahan sehingga 90 peratus akibat kebakaran itu.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan mangsa cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette