Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Dr. Zaliha Mustafa (kiri) menerima bantuan daripada Wakil syarikat Advance Pact Sdn Bhd, Datuk Seri Norolazali Sulaiman (kanan) pada Program Bantuan Banjir Johor 2023 Advance Pact di Segamat, Johor. Foto MUHD NA’IM, 11 MAC 2023.

SEGAMAT – Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.

Itulah perasaan rakyat apabila ada yang mengalami kesusahan atau ditimpa musibah.

Justeru kerana prihatin, Advance Pact Sdn Bhd menggerakkan Program Bantuan Banjir Johor 2023 bagi membantu mangsa terjejas di Parlimen Sekijang.

Sebagai salah satu tanggungjawab sosial (CSR) yang dilakukan secara konsisten, syarikat tersebut menjalankan pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Tengah Segamat, pada Sabtu.

Bukan setakat itu, Advance Pact turut menghulur bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir dari rumah ke rumah di Kampong Tengah.

Sekitar kerja-kerja Program Bantuan Banjir Johor 2023 Advance Pact di Segamat, Johor. Foto MUHD NA’IM, 11 MAC 2023.

Antara barangan yang disumbangkan adalah toto, beras, gula, air mineral, biskut, pemanas air dan banyak lagi.

Selain disumbangkan terus kepada mangsa di beberapa rumah di Kampong Tengah, Segamat, bantuan turut disalurkan kepada Pejabat Ahli Parlimen Sekijang.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa yang juga Ahli Parlimen berkenaan berkata, penglibatan dan sumbangan syarikat korporat seperti ini merupakan usaha baik yang dihargai kerana mampu membantu mangsa-mangsa banjir.

“Ini adalah satu perkara yang sangat baik. Kita menerima bantuan bukan sahaja dari dalam negeri Jobor tetapi luar negeri khususnya di Sekijang ini banjir agak teruk

“Jadi dengan sumbangan bantuan ini kita akan sampaikan kepada mangsa yang sepatutnya menerima,” katanya ketika menyempurnakan sesi penyerahan bantuan daripada Advanced Pact pada Sabtu.

Sementara itu, wakil Syarikat Advance Pact, Zamri Mohamad berkata CSR tersebut dilaksanakan atas dasar rasa tanggungjawab syarikat berkenaan untuk membantu mangsa yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini.

Sekitar kerja-kerja Program Bantuan Banjir Johor 2023 Advance Pact di Segamat, Johor. Foto MUHD NA’IM, 11 MAC 2023.

“Kedatangan kami ini untuk membantu masyarakat pertama untuk membersihkan kawasan sekolah tadi dan rumah-rumah penduduk yang terkesan banjir baru-baru ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berharap agar bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan mengubati kedukaan mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Sekitar kerja-kerja Program Bantuan Banjir Johor 2023 Advance Pact di Segamat, Johor. Foto MUHD NA’IM, 11 MAC 2023.

Terdahulu, seramai kira-kira 30 kakitangan syarikat berkenaan bertungkus lumus dan  bekerjasama dengan pihak sekolah tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di SK Kampung Tengah.

Kerja-kerja pembersihan dan mengagihkan bantuan berlangsung dari pagi sehingga petang semalam. – MalaysiaGazette