KEPALA BATAS – Satu surat tuntutan dihantar kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berhubung tindakan menggugurkan beberapa nama pengerusi kariah masjid yang dipilih secara sah dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan AJK Kariah sesi 2023-2025.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, tuntutan itu dibuat bagi mendapatkan semakan kehakiman terhadap tindakan MAINPP ke atas lima pengerusi masjid terpilih.
Antara pengerusi masjid yang terlibat adalah Masjid Al-Mustaghfirin di Sungai Tiram; Masjid Ridwaniah di Sungai Batu; Masjid At-Taqwa di Taman Bertam Indah; Masjid Al Muhajirin di Seberang Jaya dan Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah di Bandar Tasek Mutiara.
“Kita hantar tuntutan menerusi Tetuan Yusfarizal & Zaid kepada MAINPP semalam kerana tindakan mereka dianggap menyalahguna tatakelola yang telah termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) Tahun 2004, Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Qaryah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997 dan pindaan 2003.
“Tatakelola enakmen itu sudah ada sejak tahun 2004 tetapi kenapa tiba-tiba 2023 baru nak guna pakai? Ini menunjukkan tindakan politik sedangkan para pengerusi ini adalah pilihan anak kariah.
“Tindakan ini juga menjadi tanggapan tidak baik dan menjatuhkan reputasi pengerusi terbabit sedangkan mereka banyak berjasa kepada masjid yang dikelola termasuk menangani masalah musibah perpecahan yang berlaku dalam komuniti masyarakat,” katanya pada sidang media di Kompleks Tarbiyah Pas negeri di Pongsu Seribu, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Muhammad Fauzi menyifatkan Kerajaan Negeri d ibawah pimpinan DAP tidak demokratik dalam isu pemecatan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa lompat parti.
“Tempoh DUN bakal berakhir tidak lama lagi jadi tindakan mereka memecat empat ADUN itu dilihat tidak demokratik,” katanya ringkas.
Pada Isnin lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang membahaskan dan meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Empat ADUN terlibat terdiri daripada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) turut diarah keluar meninggalkan sidang DUN selepas usul itu diluluskan.
Tindakan pengosongan kerusi melibatkan empat ADUN Bersatu itu dibuat berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.
Malah, ia juga selari dengan Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkenaan kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara yang melarang wakil rakyat melompat parti. – MalaysiaGazette