Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) bakal dibincangkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Ahad ini.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Akan ada laporan tentang tiga perkara,  pertama Jawatankuasa Pemantauan dan Polisi, kedua, Jawatankuasa Perundingan Kerusi.

“Yang ketiga, Jawatankuasa Mobilisasi dan Komunikasi, saya difahamkan oleh ketua setiausaha sekretariat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki akan ada ketiga-tiga laporan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Beliau yakin pakatan pilihan raya antara PN dan BN berupaya meningkatkan kebolehmenangan kedua-dua gabungan politik tersebut pada PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Saifuddin Nasution berkata, situasi itu akan mengelak pertembungan antara kedua-dua parti di kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

“Tiada gabungan baharu hadapi PRN cuma pakatan pilihan raya. Pemahaman minimum tiada pertembungan PH dan BN, itu akan meningkatkan kebolehmenangan,” jelasnya.

Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR menambah, rundingan kerusi dengan BN dan UMNO juga akan mengambilkira daripada segi nilai tambah dan peralihan undi.

“Polanya sangat jelas tak susah untuk kita teruskan rundingan kerana kita tahu kekuatan masing-masing. Kita turut analisis daripada segi faktor geografi, pendapatan, pendidikan, jumlah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” jelasnya.

Berhubung pengagihan kerusi dalam kalangan parti komponen PH, Saifuddin memberitahu, keutamaan diberi kepada parti penyandang serta mengambil kira data pengundian di peringkat DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada sidang media itu, Saifuddin Nasution turut mengumumkan tentang Konvensyen Khas Nasional PKR di Stadium Malawati, Shah Alam pada Sabtu ini.

Menurut beliau, selain persiapan PRN, konvensyen tersebut turut membincangkan tentang pelaksanaan dasar-dasar kerajaan serta mobilisasi dan komunikasi.

Saifuddin Nasution juga mengesahkan Konvensyen Khas Nasional PKR akan turut dihadiri wakil-wakil dari DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Bagaimanapun beliau membayangkan tiada wakil dari UMNO akan hadir memandangkan parti itu mengadakan pemilihan di peringkat bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada tarikh yang sama.

“UMNO mengundi hari itu, jangan ganggu dia,” katanya.

Kongres PKR kali ini menyaksikan kelainan kerana buat julung kali, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan dasar sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast