kerusi BN PH
Mohamad Hasan

SEREMBAN – Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam esok tidak akan membincangkan pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi enam pilihan raya negeri (PRN).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mesyuarat esok lebih tertumpu kepada komunikasi strategik dan menunaikan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya sekretariat berkenaan memberitahu, soal pembahagian kerusi akan dibentangkan kemudian.

“Esok belum lagi bincang tentang pembahagian kerusi, saya pengerusinya, saya tidak akan bentangkan buat masa ini kerana itu akan kita bentangkan kemudian.

“Kalau kita cakap pasal kerusi sekarang tak akan jadi,” katanya kepada pemberita pada Mesyuarat UMNO Bahagian Rembau 2023 di sini hari ini.

Khamis lalu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, soal pembahagian kerusi bagi PRN dijangka menjadi salah satu agenda perbincangan mesyuarat itu.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan tidak akan membentangkan laporan pada mesyuarat esok kerana bertolak ke Turkiye malam ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini, belum ada pertemuan rasmi dengan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudddin Harun untuk membincangkan tentang PRN.

“Saya jumpa di Parlimen selisih dengan dia berjabat tangan dengan dia, belum peluk lagilah,” jelasnya.

Menurut beliau, BN Negeri Sembilan akan menunggu keputusan di peringkat pusat terlebih dahulu sebelum merangka langkah seterusnya di peringkat negeri.

Berhubung strategi menghadapi PRN, Mohamad berkata, setiap negeri akan menggunakan perdekatan berbeza terutamanya dari segi pembahagian kerusi. – MalaysiaGazette