Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof serta barisan kepimpinan parti yang lain bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduaan di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon-calon yang bertanding dalam Pemilihan UMNO 2023 sama ada di peringkat sayap, bahagian mahupun pusat menunjukkan satu kejayaan sebagai satu pasukan di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, barisan kepimpinan baharu itu dilihat mampu memperkukuhkan hubungan politik antara Barisan Nasional (BN, Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita juga mengambil maklum tentang perkembangan terkini dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh barisan pimpinan yang menunjukkan satu kemenangan pasukan yang meyakinkan.

“Saya percaya dengan ini (barisan kepimpinan baharu) akan tambah memperkukuhkan hubungan dan kekuatan Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media, malam ini.

Terdahulu Anwar yang juga Pengerusi PH mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn, di sini.

Hadir sama, Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Turut hadir Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Anwar juga merakamkan penghargaan kepada kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan yang sentiasa menyokong usaha pembangunan negara.

“Terima kasih kerana mendorong kuat usaha kita untuk menjamin kestabilan, keamanan dan memastikan negara ini tunduk kepada Perlembagaan.

“Malah mereka terus mendokong usaha dengan menganggap semua rakyat itu sebagai rakyat yang mesti dipertahankan hak mereka,” katanya.

Bagi tujuan itu, Anwar mendedahkan pihaknya akan mengadakan satu konvensyen bersama semua parti-parti yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan laksanakan termasuk konvensyen parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan supaya ada hala tuju, pemikiran dan dasar sama yang kian lebih utuh,” katanya.

Ketika ditanya pemberita tentang pelaksanaan konvensyen itu, Anwar bagaimanapun berkata, ia akan dilakukan dalam masa terdekat tanpa memberitahu butiran mengenainya.

“Dalam proses dimuktamadkan dalam masa singkat, perkembangan yang baik, tapi kita tak bincang butirannya kerana jawatankuasa khas akan berbincang.

“Konvensyen ini nanti akan melibatkan lebih 20 parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette