KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, malam ini.
Kehadiran Perdana Menteri ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan malam ini merupakan kali kedua selepas ia dibuat julung kalinya pada 7 Februari lalu.
Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu ditubuhkan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas pembentukan kerajaan campuran itu pada 24 November tahun lalu.
Mesyuarat antara tiga blok parti itu pada malam ini dijangka bagi membincangkan mengenai pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini.
Dalam masa sama, PH yang menganggotai sekretariat itu akan membentangkan tiga perkara iaitu Jawatankuasa Pemantauan dan Polisi, Jawatankuasa Perundingan Kerusi serta Jawatankuasa Mobilisasi dan Komunikasi.
Terdahulu Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH tiba di lobi Menara Dato Onn, kira-kira jam 8.05 malam tadi.
Ketibaan Perdana Menteri disambut Setiausaha Agung Sekretariat Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Hadir sama mengiringi ketibaan Perdana Menteri ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Kewangan I yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan yang juga Setiusaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook. – MalaysiaGazette