BUTTERWORTH – DAP menegaskan rundingan kerusi di enam negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti akan dibuat atas dasar kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerjasama antara PH dan BN amat jelas menjelang PRN meskipun perbincangan mengenai pembahagian kerusi masih belum dibuat.
“Buat masa ini, pimpinan PH negeri masih belum berjumpa dengan BN meskipun kita sudah benarkan perbincangan pembahagian kerusi dilakukan.
“Jadi kita tunggu perbincangan itu dan calon daripada DAP akan ditentukan pimpinan pusat.
“Malah, tiada rundingan membabitkan parti komponen tertentu seperti MCA ada MIC sebaliknya perbincangan dengan BN,” katanya ketika diminta mengulas sama ada DAP sedia memberikan kerusi penyandang mereka kepada MCA pada PRN yang dijangka Julai ini.
Terdahulu, Anthony Loke hadir ke Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2023 yang diadakan di Butterworth Arena di sini.
Hadir sama, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Sementara itu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, PH negeri mempunyai masa sebulan untuk memuktamadkan perbincangan dengan BN berhubung pembahagian kerusi PRN.
“Rundingan bersama BN Pulau Pinang akan dilakukan tidak lama lagi memandangkan pihaknya sudah menerima arahan daripada DAP Pusat semalam.
“Bagi saya tempoh masa sebulan kerana kita jangka perbincangan dengan BN akan berlangsung beberapa kali sebelum satu keputusan muktamad dicapai,” katanya sambil menambah mahu mengekalkan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Untuk rekod Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN. – MalaysiaGazette