Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer

KUALA LUMPUR – Malik Streams Corporation Sdn Bhd akan meneruskan program-program amal dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena menjelangnya bulan Ramadan disusuli sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer memberitahu, pada tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya 5,000 atau lebih golongan memerlukan akan ditaja dengan pelbagai bentuk sumbangan.

Golongan itu termasuklah anak-anak yatim, warga emas, mualaf dan asnaf malah warga Orang Asli dari seluruh negara akan menerima sumbangan sempena Ramadan dan hari raya.

Kata Abdul Malik, sumbangan itu juga merupakan inisiatif pihaknya untuk berkongsi rezeki bersama golongan yang kurang berkemampuan.

Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer (tengah) diiringi Pengarah Eksekutif Syarikat Iman Health and Beauty Sdn Bhd, Datin Dahlia Baiduri bergambar bersama penerima bantuan pada Program Bantuan Amal Kepada Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik di Jakel Mall, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2019

“Kita berpegang kepada prinsip nobody is left out. Semua orang tidak kira yang berkemampuan atau sebaliknya perlu menyambut keraian ini hati yang gembira dan penuh bermakna.

“Ketika ini kita sudah mengenalpasti siapakah yang hendak kita bantu, bantuan juga sudah mula disalurkan dalam skala kecil dan besar bukan di satu lokasi sebaliknya seluruh negara. Saya sendiri akan turun padang di beberapa tempat bagi penyampaian sumbangan ini.

“Ini merupakan antara pengisian Malik Streams setiap kali menjelangnya bulan mulia ini, kita akan lakukan amal jariah seluruh negara selagi yang mampu. Bukan niat kita hendak menunjuk-nunjuk sebaliknya mengajak yang turut berkemampuan untuk sama-sama melakukan kebajikan bersama bantu golongan memerlukan.

“Kita sediakan makanan untuk berbuka, juga bantuan barangan makanan serta keperluan asas, pakaian dan baju raya dan juga duit raya. Malik Streams juga sudah meletakkan iklan dengan nombor telefon untuk dihubungi jika ada mana-mana pihak atau kumpulan sasaran memerlukan bantuan ini, “katanya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit diiringi Ketua Komunikasi Korporat HKL, Norazah Muhamad Azha (kanan) pada Program Melawat dan Menyampaikan Sumbangan Aidilfitri 2019 Kepada Pesakit-Pesakit Hospital Kuala Lumpur di HKL, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 MEI 2019

Sumbangan seumpama itu dilaksanakan sepanjang tahun dan tahun berikutnya yang juga bertujuan memberi keseimbangan dalam perniagaan dan tidak hanya tertumpu kepada penjanaan keuntungan semata-mata tetapi dalam masa sama menyumbang semula serta menambah nilai kepada komuniti.

“Setiap tahun Malik Streams akan sentiasa mencari pendekatan baharu dalam mempelbagaikan aktiviti serta program bagi memastikan lebih ramai masyarakat setempat dapat dibantu dan menerima manfaat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast