KUALA LUMPUR – Mesej bulan Ramadan yang mengangkat nilai kesederhanaan dan kemanusiaan merentasi sempadan agama, kelompok dan golongan kurang berkemampuan perlu disebarkan secara meluas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di Jeddah bagi lawatan rasmi tiga hari ke Arab Saudi turut berharap agar kelebihan madrasah Ramadan akan mengangkat martabat dan harakat insan dari sudut akhlak serta integriti.
“Mari bersama kita berdoa sambil meningkatkan usaha mencapai berkahNya sepanjang bulan ini.
Dari Tanah Suci saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) mendoakan Malaysia akan terus makmur, sejahtera dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok, 23 Mac.- BERNAMA