Ahli Parlimen Machang merangkap Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (tengah) bersama Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bagan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 24 MAC 2023.

KUALA LUMPUR — Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pelepasan cukai Yayasan Albukhary.

Laporan tersebut dilakukan berikutan penafian Guan Eng yang merupakan Menteri Kewangan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa bertanggungjawab membatalkan status pengecualian cukai keatas yayasan tersebut.

Beliau berkata, penjelasan Anwar bahawa Menteri Kewangan tidak mempunyai kuasa campur tangan dengan keputusan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 mengelirukan Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri berbohong apabila menyatakan Menteri Kewangan tiada kuasa dan kuasa pengecualian cukai adalah kuasa mutlak Ketua Pengarah LHDN dibawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Penyataan Perdana Menteri itu bohong kerana di bawah Seksyen 44 (6b) Akta Cukai 1967 keputusan Ketua Pengarah LHDN boleh dirayukan kepada Menteri Kewangan dan menteri boleh buat apa-apa keputusan berpatutan.

“Anwar tidak berterus terang bahawa pengecualian cukai Yayasan Albukhary telah diberikan semasa pemerintahan Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak bagi tahun 2016 hingga 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini. hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas dan beberapa Exco Armada Nasional.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, Guan Eng mengetahui dan beliau seharusnya juga mengetahui bahawa jawapan Perdana Menteri dibuat semata-mata untuk menyelamatkannya daripada dipertanggungjawabkan di atas penolakan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

“Itulah sebabnya yayasan itu membuat rayuan selepas Guan Eng tidak lagi menjadi Menteri Kewangan. Beliau cuba mengelak dengan menyalahkan LHDN seperti membaling batu sembunyi tangan,” ujarnya.

Isu pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary timbul selepas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mendakwa Guan Eng telah membatalkan pengecualian yang telah diluluskan selepas PH ditubuhkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun pada 10 Mac lalu, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP menafikan tuduhan tersebut dan membuat laporan polis terhadap Muhyiddin pada pada 22 Mac. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast