Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi tanpa dapat mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota, Mohammed Salman merupakan satu tamparan hebat kepada negara.

Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air, Aminuddin Yahaya berkata, walaupun Anwar berada di Arab Saudi selama tiga hari namun tiada berita mengenai adanya pertemuan dua pemimpin negara Islam itu.

“Ini bertentangan dengan laporan dari pejabat Kementerian Luar yang mengatakan akan ada pertemuan tersebut pada awalnya.

“Tidak pasti apakah sebenarnya yang berlaku tetapi jika benar tidak ada pertemuan ini maka sudah tentu merupakan satu tamparan yang hebat kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengadakan kunjungan rasmi ke Arab Saudi bagi Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Arab Saudi di Istana Al-Salam.

Bagaimanapun kunjungan hormat di Istana Al-Salam yang dikatakan telah dijadualkan tidak berlangsung seperti yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Aminuddin berasa hairan apabila seorang ketua negara dilayan seumpama itu sedangkan hubungan Malaysia dan Arab Saudi bukan baharu dan rapat.

“Setiap kali lawatan perdana menteri ke sana akan mendapat sambutan yang hebat. Mana mungkin Kementerian Luar sengaja membuat kenyataan jika tidak ada pengesahan dari pihak Istana Arab Saudi.

“Macam tidak masuk akal kerana selalunya perkara sebegini akan diuruskan melalui kedutaan negara berkenaan,” katanya.

Aminuddin tidak menolak kemungkinan apa berlaku itu mempunyai kaitan dengan suasana geopolitik dunia hari ini yang sedang melakukan satu perubahan besar.

“Peperangan Rusia dan Ukraine telah menimbulkan satu Blok Baharu Dunia yang diketuai oleh China dan Rusia. Kedua-dua negara ini terkenal sebagai pesaing kepada Barat terutama Amerika Syarikat (AS).

“Kebangkitan kedua-dua negara ini sangat membimbangkan AS apatah lagi beberapa negara sudah mula menyatakan akan bersama dalam gabungan baharu ini seperti Iran, Turkiye dan juga India.

“Arab Saudi juga mula menunjukkan sikap positif ke arah penggabungan kepada Blok Baharu ini,” katanya.

Beliau mempersoalkan kegagalan pertemuan itu mungkin disebabkan oleh kedudukan Malaysia dilihat agak rapat dengan AS menyebabkan Kerajaan Arab Saudi mula menunjukkan sikap mereka

“Ini satu perkara yang perlu diteliti dan dikaji. Dominasi AS terhadap negara-negara teluk terutama Arab Saudi sudah dimaklumi dan berjalan semenjak 1938 apabila minyak mula-mula ditemui.

“Mungkin kerana sudah bosan dengan kawalan dari AS, maka Raja Saudi merasakan sudah sampai masa untuk keluar daripada belenggu Barat,” katanya.

Katanya lagi, jika diukur dari segi peluang perniagaan, Blok Baharu ini menjanjikan jumlah pasaran yang begitu luas dengan kadar penduduk sekitar hampir empat billion.

“Arab Saudi juga sedar bahawa mereka tidak boleh lagi bergantung kepada minyak sebagai hasil utama negara sebaliknya mereka kini berusaha keras kepada aktiviti pelancongan.

“Dengan potensi penduduk yang begitu ramai pelancongan pasti akan mampu mendatangkan pendapatan lumayan.

“Mungkin perdana menteri dan pasukannya perlu melihat perkara ini dan beranjak kepada Blok Baharu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast