Kerja-kerja penggalian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Perasmian “ECRL 1st Tunnel Construction Breakthough” di Paka, Dungun, Terengganu. Foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Permintaan dalam negeri, terutamanya perbelanjaan sektor swasta, akan kekal sebagai teras pertumbuhan bagi ekonomi Malaysia pada tahun 2023.

Keadaan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik akan mengekalkan perbelanjaan isi rumah.

Sementara itu, aktiviti pelaburan akan didorong oleh pelaksanaan projek berbilang tahun merentas sektor ekonomi utama. Dari segi faktor luaran, pertumbuhan eksport dijangka sederhana sejajar dengan pertumbuhan global yang lebih perlahan.

Walau bagaimanapun, pemulihan selanjutnya dalam kemasukan pelancong asing dan pertumbuhan import yang sederhana akan terus memberikan sokongan kepada pertumbuhan eksport bersih.

Menurut Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 Bank Negara Malaysia, penggunaan swasta diunjurkan terus berkembang, walaupun pada kadar yang lebih sederhana (2023r: 6.1%, 2022: 11.3%, purata jangka panjang 2011-2019: 7.1%).

Meskipun isi rumah dijangka terus melaraskan perbelanjaan disebabkan oleh kos sara hidup yang tinggi, perbelanjaan penggunaan akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang terus bertambah baik.

Pada tahun 2023, kadar pengangguran dijangka bertambah baik kepada ~3.5%, dengan pengembangan pendapatan yang lebih menyeluruh. Selain itu, langkah-langkah dasar Kerajaan termasuk
pelaksanaan gaji minimum yang lebih tinggi oleh syarikat kecil, liputan yang lebih meluas bagi pekerja yang layak mendapat bayaran untuk kerja lebih masa, semakan kadar cukai pendapatan individu dalam Belanjawan 2023 serta pindahan wang tunai dijangka memberikan sokongan tambahan kepada pendapatan isi rumah.

Pertumbuhan pelaburan swasta akan disokong oleh pelaksanaan projek pelaburan baharu dan sedia ada merentas sektor ekonomi utama. Pelaksanaan yang lebih giat bagi projek infrastruktur utama seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (Malaysia Digital Economy Blueprint, MyDIGITAL) dan dorongan yang berterusan untuk automasi dan pendigitalan yang lebih meluas juga akan menyokong aktiviti pelaburan.

Yang ketara, kerja pembinaan dalam subsektor kediaman dan bukan kediaman terus bertambah baik.

Hasrat pelaburan juga kekal menggalakkan dengan kelulusan pelaburan berjumlah RM265 bilion pada tahun 2022 (2021: RM309 bilion).

Tambahan pula, usaha berterusan oleh Kerajaan, khususnya melalui pelbagai inisiatif di bawah Dasar Pelaburan Baharu  untuk menarik dan memudahkan pelaksanaan projek pelaburan, akan memberikan sokongan tambahan kepada aktiviti pelaburan.

Pelaburan awam dijangka terus berkembang disebabkan oleh perbelanjaan modal yang lebih tinggi oleh Kerajaan Am dan syarikat awam berikutan pelaksanaan yang berterusan bagi projek infrastruktur berskala besar, seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 (Light Rail Transit 3, LRT3) dan Lebuhraya Pan Borneo.

Perbelanjaan aset tetap Kerajaan dijangka disalurkan terutamanya kepada projek pengangkutan, pendidikan, kemudahan awam dan penjagaan kesihatan.

Selain itu, pelaburan oleh beberapa buah syarikat awam utama untuk menyokong peralihan kepada pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050 dijangka menyokong peningkatan pertumbuhan.

Penggunaan awam dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan berikutan luputnya perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Walau bagaimanapun, perbelanjaan emolumen dijangka lebih tinggi didorong oleh Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas sebanyak RM100 untuk penjawat awam dan penyerapan pegawai kontrak ke jawatan tetap, khususnya dalam perkhidmatan kesihatan dan pendidikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast